oleh tokkura

Setiap karya adalah hasil ilham tokkura. Sebarang rujukan akan ditulis di akhir karya untuk pengetahuan pembaca. Pemindahan, pengambilan atau penerbitan semula karya perlu dengan izin tokkura.

Thursday, November 23, 2006

Kisah Kita

**Karya masih dalam proses. Saya siarkan apa yang termampu. Sebarang nama dan watak yang disebut tidak berkaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Juga tiada kaitan dengan yang belum dilahirkan ke dunia. Sekiranya entri sambungannya lambat disiarkan, harap dimaafkan.


Penat berlari tadi belum hilang lagi.Aimi duduk di tepi padang sambil mengesat peluh yang mengalir membasahi pipinya yang kemerahan dengan kepanasan matahari jam 5 petang. Semua orang sibuk membuat persiapan menghadapi hari sukan sekolah yang bakal berlangsung. Suasana padang yang biasanya hanya dikunjungi atlit-atlit sekolah setiap petang,kini dipenuhi dengan hampir semua warga SM Tengku Alwi. Di sebelah kanan padang telah terpacak 4 buah khemah besar mewakili setiap rumah sukan masing-masing. Abu Bakar,Umar,Uthman dan Ali. Ada yang sedang sibuk menghias khemah, bagi pengawas sekolah, sibuk menyiapkan astaka utama yang disediakan untuk para jemputan khas dan ibu bapa. Kepada yang menyertai pertandingan sibuk menyiapkan diri untuk hari perlawanan nanti. Bagi Aimi, dia juga sibuk berlatih untuk hari sukan nanti. Mewakili Uthman untuk larian individu 100 meter dan 200 meter. Tapi hari sukan itu tidak menjadi beban langsung memandangkan Aimi memang atlit sekolah dan pernah mewakili Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kelantan (MSSK) ke Sukma 1998. bagi Aimi, ini hanyalah salah satu latihan hariannya selama 3 tahun di SM Tengku Alwi.

“Hai Aimi. Takkan dah penat kot. Tak cun la camni.”

“Ya Allah! Tak boleh ke tegur orang baik-baik. Ini tidak, darilah kecil sampai dah masuk form 4, kerjanya nak buat orang terkejut je. Cuit la slow-slow, takyah tepuk-tepuk belakang aku. Aku ni perempuan, kau tu budak lelaki, cubalah jaga batas sikit.”

Taufiq tersengih disembur Aimi. Kemudian tanpa disuruh, dia melabuhkan punggung di sebelah Aimi. Sama-sama memandang ke tengah padang, melihat kesibukan teman-teman.

“Ish,kau ni kenapa? Tak pernah-pernah sebut pasal batas-batas lelaki perempuan,tiba-tiba hari ni lain macam pulak. Tomboy macam kau pun nak kena jaga batas-batas juga ke. Dengan aku pulak tu. Dah berapa lama kita kenal, tiba-tiba nak kena buat macam tu. Apsal, ada prob ke?”

Aimi diam. Cuma keluhan yang keluar dari bibir kecil itu. Dia sendiri pun tidak tahu apa yang dikatakan sebentar tadi. Masalah yang timbul membuatkan Aimi tidak keruan. Latihannya sebentar tadi pun tidak menampakkan hasil yang membanggakan. Hampir-hampir dia dileter oleh cikgu Rahman. Bagi Aimi, antara dia dengan Taufiq, teman baik yang dikenali sejak sekolah rendah lagi, tidak pernah wujud batasan lelaki perempuan. Sementelahan pula Aimi memang dikenali dengan sifat tomboy. Tetapi, sejak memasuki tingkatan 4, wujud pula halangan yang dia sendiri tidak menyangkanya. Jauh di tengah padang, dilihatnya Mastura, pelajar baru yang memasuki kelasnya sibuk menghiasi khemah Ali, sambil bergelak ketawa dengan riang. Hai..alangkah bahagianya jika tiada masalah sebegitu.

“Woits.. kau ni kenapa. Kau dengar tak apa yang aku ceritakan ni? Jauhnya mengelamun. Kau tengok siapa tu.. Fikri? Ha..takkan ko minat kat Fikri kot? ”

“Hoi! Kau gila apa? Takde kerjanya aku nak gi minat kat Fikri tu. Aku tengah berfikir la.”

“Berfikir apanya. Fikir tentang Fikri lah tu. Fikri tu hensem apa.. kapten bola sepak lagi. Ramai peminat, tapi kau juga yang dia suka ye. Bila kau nak bagi aku baca surat yang dia bagi kat kau tu? Kedekut betul la minah ni..”

“Sudah-sudah. Malas nak layan kau. Aku balik dulu lah.” Aimi bangun meninggalkan Taufiq. Pantas dia berpaling ingin mendapatkan basikal yang diletakkan di belakang astaka, sepantas itu jugalah Taufiq menangkap tangan Aimi menariknya sehinggakan Aimi hampir terjatuh.

“Duduk. Kau jangan nak rahsiakan apa-apa dari aku. Aku tahu, kalau kau dah buat perangai macam ni, ada something yang kau rahsiakan dari aku.”

“Mana ada apa-apa! Aku nak balik je la.”

“Woit makcik, aku kenal kau bukan semalam tau tak! Dah dekat sepuluh tahun. Sejak dari standard 1 lagi. Kalau kau simpan masalah tu seorang-seorang pun, bukannya masalah tu boleh hilang.”

“Aku..aku.. Ish, takde pape la.”

“Ermm… jom aku temankan kau balik. Tak nak cerita sudah.”

Aimi bangun mendapatkan basikalnya.

“Aku tak bawa basikal hari ni. So, kau kena jalan kaki jugalah temankan aku.”

“Cet, patutlah nak temankan aku balik. Rupanya aku yang kena temankan kau jalan kaki balik. Suka menyusahkan aku betullah kau ni.”

Taufiq tersengih. Malas nak bergaduh dengan Aimi. Sebab memang dia yang bersalah pun. Pagi tadi terbangun lewat, terpaksa suruh Along hantarkan dengan kereta. Aimi dengan Taufiq berjalan beriringan keluar dari sekolah menapak ke rumah. Sambil-sambil berjalan tu, ada saja yang nak diborakkan sampai penat keduanya ketawa dengan lawak sama sendiri. Rumah Aimi di Taman Cempaka cuma 1 kilometer saja dari sekolah, manakala Taufiq di Taman Permai, lagi setengah kilometer. Dari jauh kelihatan rumah Aimi, tersergam kaku, dipanah mentari senja jam 6:30 petang. Langkah kaki Aimi kaku, tidak mampu menapak lagi.

“Fiq, aku tak nak balik rumah lagi. Temankan aku pergi taman permainan belakang tu.” Tutur Aimi perlahan, hampir sahaja tenggelam dengan deruman enjin kereta yang lalu-lalang di sekitar.

Aimi diam membisu. Taufiq sekadar menunggu butir bicara Aimi. Yang kedengaran hanya bunyi besi buaian menampung berat badan mereka sambil berayun perlahan. Desiran angin menyentuh lembut pipi.

“Papa nak kahwin lain.” Suara Aimi kedengaran bergetar menahan sebak. Taufiq diam membiarkan Aimi dengan perasaannya.

“Kau tahukan, mama baru saja pergi. Baru tahun lepas mama masih ada, menemani aku belajar, memberi kata semangat untuk aku menghadapi PMR. Kau pun ada, kau pun tahukan mama seorang yang sangat baik. Papa kejam, sangup menduakan mama. Apa salah mama sampai papa sanggup untuk kahwin lain. Perempuan tu pun tak sedar diri. Dah tahu dia tu anak dara lagi, carilah yang sebaya. Kenapa nak ambil papa juga. Mama tak layak untuk diduakan papa. Papa kejam!!”

Taufiq masih diam. Dia sendiri pun mati akal untuk memujuk Aimi. Dulu sewaktu Aimi menangis meratapi kematian mamanya, Taufiq cuma mampu melihat. Waktu itu lain, Aimi bukan memberontak. Aimi cuma perlukan teman untuk menemaninya menangis. Taufiq bukannya reti dalam bab pujuk memujuk ni.

“Kenapa diam. Kau setuju ke papa kahwin lain?”

“Mie, kau dah 16 tahun. Kalau aku cakap apa-apa pun, belum tentu kau nak terima kata-kata aku. Papa kau lelaki. Lagi pun dia masih muda Mie. Dah tentu dia perlukan seorang teman untuk bersamanya dalam semua hal. Semasa susah, senang, sakit.”

“Aku ada! Papa tak perlukan orang lain. Aku dan papa ada sama sendiri untuk menolong. Kalau papa susah hati, papa boleh ceritakan pada aku. Kenapa mesti wujud orang luar?!”

“Kau lain Mie. Kau budak-budak lagi. Kau ..”

“Kau pun sama saja dengan papa Fiq! Senang-senang je boleh menduakan hati perempuan. Hilang seorang, sekejap saja boleh cari pengganti. Aku ingatkan kau memahami hati aku.” Sekeras-sekeras sifat tomboy Aimi, kalah juga dengan air mata sendiri. Kecewa dengan sikap Taufiq, Aimi bangun ingin pulang.

“Aimi, listen to me Aimi! Kau kena faham keadaan papa kau. Aku bukan menyebelahi dia sebab dia lelaki. Aku ..”

“Kau sama saja!” Sepenuh hati Aimi menolak Taufiq yang berusaha keras menghalang Aimi dari pulang, selaju itu jugalah air mata Aimi menuruni pipinya.

“Aimi, kau bukan kanak-kanak. Fikirlah secara lojik! Jangan nak ikutkan hati kau saja. Fikirkan keadaan papa juga..” Aimi sudah mula meronta-meronta cuba melepaskan genggaman tangan Taufiq yang kejap memegang pergelangan tangannya.

“Lepaskan aku! Fiq, lepaskan aku!!”

“Aimi!!” Aimi terdiam, diam dalam kejapnya pelukan Taufiq. Kehangatan pelukan Taufiq menghamburkan air mata Aimi. Melepaskan segala yang terbuku di hati.

“Mie, aku faham perasaan kau. Kalau aku di tempat kau sekali pun, belum tentu aku mampu nak menghadapinya. Tapi kau bukan kanak-kanak yang masih berebutkan gula-gula dengan sesiapa. Kau dah dewasa. Dah mampu berfikir apa yang patut. Kau tak patut menghukum papa kejam hanya kerana dia ingin berkahwin lain. Papa manusia Mie. Papa ada perasaan. Sama seperti kita semua Mie. Perasaan ingin menyayangi, ingin disayang. Inginkan teman bercerita suka duka. Memang sebelum ini semua hal papa ceritakan kat kau Mie. Tapi, ada juga hal yang tidak boleh dia ceritakan pada kau. Papa pun tidak mahu menyusahkan kau dengan masalah hidupnya.”

Lembut suara Taufiq memujuk Aimi. Sambil tangannya membelai halus rambut Aimi.

“Aku tahu. Tapi terlalu awal untuk aku menerima semua ini.” Tangisan Aimi mula reda. Tetapi pelukan Taufiq masih belum dilepaskan. Dia selesa dengan kehangatan bidang dada Taufiq.

“Lagi satukan Mie, papa perlukan seseorang untuk menguruskan rumahtangganya. Untuk memasak, menggosok pakaian, dan lain-lain. Nak harapkan kau, memang tak buatlah. Kau tu budak lelaki.”

“Woit.. aku budak perempuanlah. Suka hati je kata aku budak lelaki.” Aimi merenggangkan pelukan Taufiq. Bengang dengan kata-kata Taufiq.

“Eh, perempuan ke?! Ingatkan budak lelaki tadi. Nampak seronok je peluk aku, macam takde batasan je lelaki perempuan.” Taufiq tersengih membalaskan paku buah keras yang diterima tadi.

“Cet, dia yang peluk aku dulu. Pandai-pandai kata aku pula yang gembira peluk dia. Kalau gitu, baik aku pergi peluk Fikri. Lagi hensem dari kau.” Aimi berkata sambil kaki menapak mendapatkan basikal, membelakangkan Taufiq. Merah padam mukanya menahan malu dipeluk Taufiq.

“Hahaha… cakap je lebih. Kalau ada apa-apa masalah nanti, aku juga yang kau cari. Kau perlukan aku, aku pun tak boleh kalau takde kau. Kita akan selamanya kawan. Sama saja dengan papa. Perlukan seseorang untuk menjadi kawan baiknya.”

“Ermm..ok ok. Aku dah faham dah apa yang kau cakap tadi. Takyah ulang dua tiga kali. Bingit telinga ni tau! Ok lah, aku balik dulu. Bye ~..” Aimi tersenyum memandang Taufiq.

Taufiq gembira dengan penerimaan Aimi. Senyuman Aimi menenangkan hatinya. Senyuman itulah yang menemani tidurnya sejak kebelakangan ini. Dia pun kurang pasti kenapa wajah itu yang sering bermain di fikirannya. Dah angau agaknya aku ni.. Taufiq tersenyum sendirian mengenangkan dirinya. Terkenangkan Aimi yang malu-malu dipeluknya tadi. Dia tahu, perbuatannya telah melampaui batasan agama. Tapi badannya bertindak sebelum sempat akalnya berfikir. Hai Taufiq, banyak-banyak budak kelas kau yang cun, lemah lembut, Aimi yang kasar itu jugak yang kau suka. Dan, tidur Taufiq malam itu diiringi senyuman Aimi lagi.

********

Hari sukan sekolah berlalu, berlangsung dengan jayanya. Aimi seperti biasa merangkul emas untuk kedua-dua acara yang disertainya. Taufiq juga, sebagai wakil MSSK, merangkul emas untuk 100 meter dan 1500 meter. Rumah Abu Bakar menjadi johan tahunan. Hangat semangat kesukanan mulai reda. Semua mula menjalani rutin harian masing-masing. Yang tinggal di padang hanya mereka yang aktif bersukan sahaja. Hari ini suasana panas, cahaya matahari menggigit kulit. Taufiq tidak meneruskan latihan larian hari ini. Dia memilih untuk bermain bola sepak bersama-sama Fikri dan teman-teman. Sekadar untuk suka-suka dan mengeluarkan peluh sahaja.

Raziq menyepak bola kepada Taufiq. Taufiq cuba membawa ke atas terus ke pintu gol. Tapi di halang pantas oleh Fikri, Fikri menyepak bola, keluar padang. Semua tergamam. Cantik sepakan Fikri, laju menuju ke arah Aimi yang sedang berlari mengelilingi padang. Aimi tidak meyedari kehadiran bola tersebut, bukk!! Bahu Aimi terkena bola. Jatuh terduduk Aimi, macam nangka busuk. Aimi yang memang mudah bengang, pantas mengutip bola, menapak ke arah pemain-pemain bola. Semua tergamam, tidak sanggup mendengar leteran Aimi yang terkenal dengan amarahnya.

“Siapa yang buat ni? Tak nampak ke aku kat situ? Korang ingat tak sakit kena bola ni?” Sembur Aimi. Taufiq tersengih, ingin melangkah ke arah Aimi, berniat ingin meredakan kemarahan Aimi..

“Sorry awak. Kita yang tendang bola tu tadi. Tak perasan pula awak kat situ.” Aimi terkejut, tidak disangkanya Fikri yang menendang bola. Tersentak niat Taufiq mendengar jawapan Fikri.

“Erk.. takpe lah awak. Kita pun salah. Tak patut kita terus marah-marah. Memanglah tak nampak orang sekeliling kalau dah main.”

Fauzi teman baik Fikri menyampuk.”Hai.. nasib baiklah Fikri yang menyepak bola tu. Kalau tak, mahunya semua orang kena sembur dengan minah garang ni. Macam manalah kau lembutkan budak Aimi ni ye Fikri. Macam ni lah agaknya budak-budak sekolah couple ye, awak kita..awak kita..” tercetus gelak tawa semua orang dengan kata-kata bersahaja Fauzi. Fikri sekadar tersenyum diusik teman-teman.

“Hoi!! Kau jangan nak cari pasal ye Fauzi. Siap kau nanti..”

“Aku balik dululah geng. Hari ni mak aku suruh balik awal tolong dia buat apa entah.” Kedengaran suara Taufiq di antara gelak tawa mereka yang masih bersisa itu. Aimi terhenti dari memarahi Fauzi. Melihat sahaja Taufiq meninggalkan kumpulan bola sepak itu dengan pandangan kosong. Aimi tidak menyangka Taufiq juga berada dalam kumpulan itu.

Setelah meminta diri dari Fikri, Aimi bergegas mengejar Taufiq. Kelibat Taufiq tiada di mana-mana. Aimi bergegas ke tempat letak basikal, masih ada basikal Taufiq terkunci rapi. Melangkah ke kelas, kelihatan Taufiq sedang mengemas buku-buku dan uniform sekolah, memasukkan ke dalam beg. Aimi melangkah ke kerusi, mengemaskan buku-bukunya.

“Fiq, temankan aku balik hari ni. Pagi tadi basikal pancit, aku minta papa yang hantarkan tadi.”

“I`m sorry, are you talking to me?”

“Yes, I`m talking to you Fiq.”

“Ooo.. ye ke. Ingatkan panggilan Fik tu untuk boyfriend kau. Fik is for Fikri. Bukan untuk Taufiq.” Perli Taufiq, sambil cuba mengawal emosi sendiri. Baru semalam dia berangan-angan untuk meluahkan perasaannya kepada Aimi. Siapa tahu, dia telah terlambat. Siapa tahu, gurauannya sebelum ini menjadi kenyataan. Akibatnya, hati sendiri yang kecewa.

“Fiq, please.. aku memang nak berterus terang kat kau. Tapi tadi aku tunggu kau kat tepi padang tu, tak ternampak pulak kelibat kau. Manalah aku tahu kau sedang main bola.”

“Aku bet kau mesti tengok jugakan budak-budak yang sedang main bola tu. Tapi musykil juga aku, macam mana kau boleh tak nampak aku. Biasanya kalau kau cari aku, dari jauh lagi boleh nampak. Ermm.. no wonder lah kan, kau nampak kaptennya saja. Memanglah tak nampak player lain kan, Aimi? Am I wrong?”

“Ok, aku minta maaf Fiq. I`m sorry. Aku couple dengan Fikri masa sport day minggu lepas. Aku nak bagi tahu kau, tapi aku malu. Nanti kau cakap, perempuan macam aku pun main cintan juga ke..”

“Wow..dah seminggu. Dan aku tak tahu langsung! What a friend… Takpe lah, semoga berbahagia.”

“Kau ni kenapa Fiq, jangan pula nak cakap kau jealous ngan Fikri kot..” Berderai tawa Aimi dengan ayat sendiri.

“Haha.. lawak gila. Sudah-sudah, takde masa aku nak jealous ngan Fikri tu. Cuma aku kecil hati je kau tak bagi tahu aku. Semua orang dah tahu, tiba-tiba aku kawan baik kau, tak tahu apa-apa. Dah, jom balik. Kang bising pula mak aku kat rumah tu.”

Lega hati Aimi mendengar tutur Taufiq. Sebenarnya dia malu nak mengaku yang dia sukakan Fikri. Takut nanti diketawakan Taufiq. Bukan dia tak kenal perangai Taufiq, suka mempersendakan dirinya.

Taufiq menarik tangan Aimi, mempercepatkan langkah. Dari jauh Fikri memerhati gelagat kedua teman baik tersebut. Muncul rasa cemburu yang membuak-buak. Memang wajar dia cemburu. Aimi miliknya, bukan Taufiq. Sebaliknya di fikiran Taufiq sibuk memikirkan mak di rumah. Mak di rumah mesti sudah bising. Katanya ada perkara yang nak dibincangkan bersama. Aimi terpaksa berlari-lari anak mengejar langkah Taufiq yang pantas. Mereka tiba di perkarangan letak basikal. Sedang Taufiq membuka kunci basikal, muncul Fikri.

“Awak, tadi awak kata tak bawa basikal. Nak kita temankan awak balik?” Aimi serba salah. Dia sudah berjanji untuk balik bersama Taufiq, tapi dia lebih ingin balik bersama-sama Fikri.

“Erm.. takpelah Mie. Kau baliklah dengan Fikri. Lagipun aku nak cepat ni. Kalau jalan kaki dengan kau, lagilah lambat.” Dirasakan berat untuk lidahnya mengucapkannya. Tapi Taufiq harus sedar, dia terlambat. Tiada siapa yang bersalah, melainkan dirinya sendiri.

“Hehe..ok ok. Take care. Kirim salam kat mak kau ye.”

**********

“Along, betul ke? Kenapa takde orang pernah bagi tahu Fiq pun sebelum ini. Mak, kenapa mak rahsiakan semua ni dari Taufiq?! Semua orang tahu tentang hal ini, kecuali Taufiq. Sedangkan empunya diri yang bukan anak kandung mak yang sebenarnya adalah Taufiq, Taufiq Abdul Rashid.” Taufiq terduduk mendengar berita yang baru didengarnya. Seakan bermimpi apabila diberitahu dia bukan anak kandung mak, bukan adik beradik sedarah daging dengan Along. Cuma anak pungut, anak angkat. Biarlah ayahnya orang kenamaan sekali pun, hartawan sekali pun, yang dia mahu, cuma menjadi ahli keluarganya yang sekarang sahaja. Anak mak, adik kesayangan Along.

“Mak bukan berniat untuk simpan semua cerita ini dari kau. Tapi kalau mak bagitahu kau dulu pun, kau tentu tetap tak boleh terima kenyataan ini. Kalau ikutkan hati mak, Along rasa dah tentu mak akan simpan cerita ini sampai bila-bila.” Along bersuara dengan harapan dapat menghilang rusuh di hati Taufiq. Tapi kenyataan sebegini mana mungkin menenangkan hatinya yang walang.

“Kau patut bersyukur akhirnya kau tahu siapa kau yang sebenarnya. Aku pun pelik dengan sikap mak, macam mana mak boleh sabar besarkan kau selama ini. Kalau aku dah lama buang anak pungut macam kau ni.” Tergamam semua orang dengan suara Angah yang baru muncul dari muka pintu. Sejak bila Angah berdiri di situ pun tiada siapa yang perasan. Taufiq makin terasa tersisih dari keluarganya. Pertanyaannya dengan sikap dingin Angah selama ini akhirnya terjawab. Sejak kecil Angah tidak pernah suka dengan Taufiq. Segala perbuatan Taufiq ada saja yang tidak kena. Segala layanan mak terhadap Taufiq selama ini selalu saja dibangkang Angah. Rupanya Taufiq hanya anak pungut. Anak pungut yang tidak layak langsung menumpang kasih keluarga ini.

Taufiq bangun dari sofa, setelah tiada kata yang keluar dari mulut mak. Sebelum ini pantang Angah membulinya, pasti mak akan pantas memarahi Angah. Mak akan membela Taufiq. Taufiq anak kesayangan mak. Semua permintaan Taufiq akan cuba dipenuhi mak walaupun Angah sering membantah. Taufiq bukan anak kesayangan mak lagi. Bukan anak bongsu keluarga ini lagi. Perlahan kakinya melangkah, menuju ke kamar. Berat hatinya untuk pergi, tapi Taufiq tiada kuasa menghalang semua dari berlaku. Kebisuan mak seolah-olah memberi kata putus bahawa Taufiq sudah tidak diperlukan lagi dalam rumah ini.

“Fiq, Fiq mahu ke mana?” lembut suara mak memanggil. Sayu hatinya Allah sahaja yang tahu. Suara mak bagaikan memujuk agar Taufiq terus tinggal dalam rumah ini. Rumah peninggalan arwah ayah.

“Fiq nak berkemas mak. Dua tiga hari lagi papa nak datang ambil. Banyak barang nak kena kemas.” panggilan `papa` hampir sahaja tenggelam dalam kerongkongnya. Siapa papa Taufiq? Nama sahaja papa, tapi sekali pun Taufiq tak pernah bersua dengan empunya nama.

Pantas ingatan Taufiq menjangkau kenangan silam. “Lelaki harus kuat. Bukan ke ayah selalu cakap, lelaki tidak boleh kalah dengan airmata, tidak boleh kalah dengan emosi.” Bagai terngiang-ngiang suara ayah di telinga Taufiq. Pemergian ayah empat tahun lepas juga tidak Taufiq iringi dengan airmata. Ayah pasti marah kalau Taufiq menangis. Ya Allah, kuatkanlah hati ku, kuatkanlah perasaan ku. Aku anak ayah, perlu kuat. Allah tidak akan menguji hambaNya dengan ujian-ujian yang tidak mampu hambaNya tempuhi. UjianNya adalah tanda sayangnya Allah kepada hamba-hambaNya.

Pilu mata Fatimah mengiringi langkah anak lelaki bongsu yang selama ini menjadi buah hati mereka sekeluarga. Jarak umur anak perempuan keduanya, Haryati dengan Taufiq begitu berbeza. Selepas melahirkan Angah, Fatimah disahkan tidak dapat mengandung lagi. Dua kali keguguran selepas melahirkan Haryani, anak sulungnya dengan arwah suami, Fatimah hanya dibenarkan mengandungkan anak keduanya. Kelahiran Haryati juga hampir-hampir meragut nyawanya sendiri. Keinginan Fatimah memiliki anak lelaki akhirnya dikabulkan Allah apabila rumah kecil milik Fatimah dan Abdul Rashid suaminya dikunjungi majikannya. Sekarang haknya sebagai ibu kepada Taufiq telah dirampas kembali. Perjanjiannya 16 tahun yang lampau perlu ditunaikan. Fatimah tiada kuasa untuk menghalang pemergian Taufiq.

“Biar mak tolong Taufiq berkemas, ye sayang.”

Bagaikan halilintar memecah gegendang telinga Taufiq mendengar ucapan patah kata yang keluar dari bibir tua Fatimah. Lain yang diharap, lain yang didengarnya. Memang mak sudah tidak sayang Taufiq lagi. Itu sahaja yang mampu akal Taufiq tafsirkan dengan kata-kata ibunya. Mak pun sudah tidak perlukan Taufiq dalam rumah ini. Apa lagi yang dia ada untuk mempertahankan diri. Sekadar mengangguk mengiakan kata-kata ibunya, Taufiq melangkah ke bilik untuk berkemas. Hatinya yang walang dengan sikap Aimi belum terubat, kini dia berdepan dengan masalah yang lebih besar. Wahai hati, tabahlah engkau…

Ruang bilik Taufiq yang sederhana besar dengan langsir berwarna hijau dipadankan dengan karpet berwarna krim dipandang sayu. Biliknya sekali pandang macam bilik budak perempuan. Teman-teman yang datang semua memerli Taufiq kerana menghias bilik seperti budak perempuan. Tapi Taufiq tidak kisah dengan gelak tawa rakan-rakannya. Susun atur bilik semua diserahkan kepada ibu. Lagi pula dia sangat dimanjakan oleh Along. Semua perkara diceritakan kepada ibunya. Angin bertiup lembut, membuaikan langsir hijau bercorak-corak halus itu. Set hi-fi pemberian arwah ayah diletakkan berhampiran jendela di satu bucu biliknya. Katilnya berada berhampiran pintu masuk dengan cadar hijau kotak-kotak kecil. Dalam bilik kecil itu hanya mempunyai sebuah katil, almari pakaian di kaki katil, dan sebuah meja belajar beserta set hi-fi kesayangannya. Sekilas diimbas kembali keseluruhan bilik yang akan ditinggalkan sebentar lagi. Pelbagai kenangan bergolak dalam fikiran menyusun segala peristiwa yang pernah berlaku sepanjang hidupnya. 16 tahun menjadi anak kepada Fatimah dan Abdul Rashid, banyak mengajarnya apa makna hidup.

Pemandu yang ditugaskan mengambil Taufiq sedang menunggu Taufiq di luar. Katanya Dato` Talha tidak dapat datang kerana ada hal yang tidak dapat dielakkan. Taufiq sebal dengan alasan tersebut. 16 tahun tidak pernah bersua dengan anak lelaki tunggal, masakan cuti sehari pun tidak boleh? Apatah lagi bekerja di syarikat sendiri, sudah tentu dia yang menjadi majikan. Pemandu yang dalam lingkungan 50 tahun itu sekadar terdiam apabila Taufiq mencebik bibir mendengar pesanan Dato` Talha. Dia memahami apa yang bergolak dalam hati anak muda itu. Seusai bersalam dengan ibu dan Along, Taufiq menapak masuk ke dalam kereta. Mercedes Kompressor hitam itu sudah mampu menggambarkan betapa empunya kereta adalah seorang hartawan. Tapi itu bukan bermakna kebahagiaan menanti Taufiq. Angah tidak datang untuk mengiringi pemergian Taufiq. Sebelum ini pun hubungan Taufiq dengan Angah tidak berapa baik. Angah menganggap kehadiran Taufiq merampas kasih sayang mak dan ayah kepadanya. Perlahan-lahan Kompressor hitam itu berundur dari garaj kereta dan berlalu ke jalan utama. Fatimah bagaikan mahu meraung dengan pemergian Taufiq. Selepas berlalunya kereta Taufiq, tangisan yang ditahan selama ini dihambur sekuat hati ke bahu Haryani. Haryani hanya mampu memeluk ibunya, mengusap bahu sambil memujuk hati sendiri.
Bersambung di lain hari ...

1 Comments:

At 4:32 AM, Blogger Hazu~ said...

nak baca tapi tgh takde masa la. lain kali la baru baca ye...

 

Post a Comment

<< Home