oleh tokkura

Setiap karya adalah hasil ilham tokkura. Sebarang rujukan akan ditulis di akhir karya untuk pengetahuan pembaca. Pemindahan, pengambilan atau penerbitan semula karya perlu dengan izin tokkura.

Tuesday, October 02, 2007

Aku, Mat Jue dan Sultan Muhammad Fateh

karya asal: tokkura
June 5, 2007 (2:46pm)
sumber:rencana bersumberkan`Alwi Alatas: Al-Fatih Sang Penakluk Konstantinopel, Penerbit Zikrul Hakim, 2005`



Kurang ajar punya Mat Jue. Siaplah kau!

Ranting kayu di tangan aku libas-libaskan seperti pedang. Mat Jue membalas. Sesekali aku tak sempat mengelak, pedang kayu Mat Jue mengena bahu aku. Sialan! Dia yang bodoh, dituduhnya aku menipu. Tok Ayah cakap, orang-orang yang suka menuduh orang lain jahat, suka buat fitnah dan cerita-cerita menipu ni, Israel saja. Aku mujahid Islam kena perangi orang macam Mat Jue ni!

Mat Jue melibas pedang kayu aku. Dua-dua pedang kami terpelanting. Aku makin sakit hati dengan Mat Jue. Aku terkam Mat Jue, tampar dua pipi Mat Jue yang memang dah penuh dengan parut-parut kesan dicalar duri waktu masuk hutan curi-curi mandi sungai dulu. Tak padan dengan budak perempuan. Hoi perempuan, kalau suka menipu tu, menipu jugalah keluarga kau semua-semua! Jerit Mat Jue sambil menarik tocang rambut aku. Kau yang bodoh. Tok Ayah cakap adalah strategi perang macam tu! Balas aku.

Aku dan Mat Jue tengah main-main perang dekat alur air belakang rumah Tok Ayah. Alur air itu menjadi laluan pesawah melepaskan air ke petak-petak sawah masing-masing. Hujung alur akan berpecah menjadi dua cabang, menjadikan seolah cabang tiga dihujungnya. Di situlah Mat Jue kata nak bina kubu askarnya. Aku ikutkan saja. Lepas itu Mat Jue buat benteng dekat alur air utama, konon-konon menghalang kapal perang aku nak masuk menyerang. Mat Jue ingat aku bodoh agaknya. Tok Ayah selalu cerita pasal Sultan Muhammad Fateh menakluk Konstantinople. Aku pun apa lagi, tunjuklah skill aku pada Mat Jue yang tak berapa bijak tu. Aku kutip ranting-ranting, cabut rumput buat laluan untuk kapal kertas aku panjat bukit tepi alur itu. Lepas itulah si Mat Jue mula bising-bising. Kata aku main tipu. Mana ada kapal boleh panjat bukit. Menjerit-jerit Mat Jue marahkan aku. Aku pantang orang cakap aku penipu. Ranting ketapang yang jatuh aku kutip dan libas betis Mat Jue. Pantas Mat Jue balas dengan ranting yang lagi besar.

Hingar kami bertumbuk sampai ke pendengaran Tok Ayah yang sedang duduk-duduk di serambi depan rumah. Tok Ayah cekak leher baju aku, cekak leher baju Mat Jue, terawang-awang kami. Tok Ayah memang kuat. Tok Ayah ajar orang silat dekat kampung aku. Tok Ayah pernah hidup zaman British ada lagi kat Malaya ni. Sebab itulah Tok Ayah tak suka Amerika sekarang ni. Kata Tok Ayah, Amerika dengan British itu, sama saja jahatnya.

“Ain, kau ni dah kenapa? Tak padan dengan anak perempuan bertumbuk dengan Mat Jue. Tak malu ke orang tengok.”

Aku sekadar mencebik mulut. Tok Ayah pulas betis aku waktu itu, kurang ajar sangat, kata Tok Ayah. Masa itu aku tak menangis walau setitik air mata pun. Aku bilang pada Tok Ayah, Mat Jue yang salah sebab dia bodoh. Mat Jue tunduk saja masa aku baca pertuduhan itu padanya. Mat Jue memang takut dengan Tok Ayah. Mat Jue tu, nama saja lelaki, tapi lembik. Kalau gaduh dengan aku, seratus peratus menang aku.

“Mat Jue kata Ain buat strategi perang tipu. Ain tiru Strategi Sultan Muhammad Fateh yang Tok Ayah cerita saja. Mat Juelah yang salah sebab tak pandai. Tak tahu cerita Sultan Muhammad Fateh takluk Konstantinople.” Tok Ayah kutil lengan aku sebab cakap Mat Jue tak pandai. Aku sengih saja.

Tok Ayah tarik tangan aku dan Mat Jue ke pangkin depan rumah. Tempat Tok Ayah selalu tengok anak-anak murid silatnya berlatih. Kata Tok Ayah, nanti Tok Ayah cerita sekali lagi tentang Sultan Muhammad Fateh. Biar Mat Jue pun tahu cerita itu. Ini semua salah Mat Jue! Semalam Tok Ayah janji nak cerita tentang Salahudin al-Ayubi, ini dah jadi lain pula. Mat Jue yang tak tahu, aku pun kena dengar sekali lagi cerita ini. Ini cerita Tok Ayah.

29 Mac 1432, Sultan Muhammad Fateh dilahirkan. Sultan Murad, ayahandanya Sultan Muhammad Fateh ketika itu sedang membaca al-Quran yang bermaksud "Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata"(Al Fath:1) ketika berita tentang kelahiran puteranya sampai ke telinga baginda. Ini adalah sebagai satu petanda bahawa putera yang lahir itu akan membawa perubahan yang besar dalam sejarah Islam. Sultan Muhammad Fateh dididik dengan ilmu agama dan panglima-panglima perang yang hebat diminta untuk mengajar beliau. Ketika Sultan Muhammad Fateh meningkat umur 19 tahun, beliau sudah memegang tampuk pemerintahan. Di kala itu, beliau sudah sangat arif tentang tipu muslihat musuh kerana sejak berusia 16 tahun lagi Sultan Muhammad Fateh telah diberi kepercayaan untuk menjadi pemangku sultan memerintah Turki sewaktu ayahandanya ke Pulau Magnesia untuk bersuluk.

Sultan Muhammad Fateh bercita-cita untuk merealisasikan hadith yang disabdakan oleh Rasulullah yang tercinta 700 tahun yang lalu.

Abu Qubail menuturkan dari Abdullah bin Amr bin Ash, “Suatu ketika kami sedang menulis di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba beliau ditanya, “Mana yang terkalahkan lebih dahulu, Konstantinopel atau Romawi?” Beliau menjawab, “Kota Heraklius-lah yang akan terkalahkan lebih dulu.” Maksudnya adalah Konstantinopel.” [H.R. Ahmad, Ad-Darimi, Al-Hakim]

Kemudian Tok Ayah tiba-tiba bertanya aku, Ain belum dengar lagikan cerita tentang Salahudin al-Ayubi? Aku geleng sambil menjeling Mat Jue. Mat Jue punya pasallah ni! Tok Ayah paut bahu aku, dan cakap – ramai orang yang kagum dengan kisah peperangan antara Balian of Ibelin dan Salahudin al-Ayubi bila melihat penggambaran filem Kingdom of Heaven, tapi peperangan Sultan Muhammad Fateh jauh lebih hebat. Aku kelip-kelip mata. Budak-budak silat Tok Ayah selalu juga sebut cerita Kingdom of Heaven ini. Mereka berborak-borak sambil main-main rambut aku yang kusut ini. Aku malas nak layan. Tok Ayah sambung cerita yang tergendala.

Hari Jumat, 6 April 1453M, Sultan Muhammad Fateh bersama gurunya, syeikh Aaq Syamsudin, beserta tangan kanannya, Halil Pasha dan Zaghanos Pasha merencanakan penyerangan ke atas Konstantinople dari berbagai penjuru benteng kota tersebut. Dengan berbekal 150 000 ribu pasukan dan meriam buatan Urban – teknologi terbaru saat itu, Sultan Muhammad Fateh mengirim surat kepada Paleologus untuk masuk Islam atau menyerahkan penguasaan kota secara damai atau perang. Constantine Paleologus menjawab akan tetap mempertahankan kota dengan dibantu oleh Kardinal Isidor, Pangeran Orkhan dan Giovanni Giustiniani dari Genoa.

Kota dengan benteng 10 meter tersebut memang sulit ditembusi, selain di sisi luar benteng pula dilindungi oleh parit sedalam 7meter. Dari sebelah barat melalui pasukan altileri harus membobol benteng dua lapis, dari arah selatan laut Marmara pasukan laut harus berhadapan dengan pelaut Genoa pimpinan Giustiniani dan dari arah timur armada laut harus masuk ke selat sempit Golden Horn yang sudah dilindungi dengan rantai besar hingga kapal perang ukuran kecil pun tidak boleh melepasinya.

Berhari-hari hingga berminggu-minggu benteng Konstantinople tak bisa dimusnahkan, kalaupun runtuh membuat celah, pasukan Konstantine mampu mempertahankan celah tersebut dan dengan cepat menumpuk kembali hingga tertutup. Usaha lain pun dicuba dengan menggali terowong di bawah benteng, cukup menimbulkan kepanikan kota, namun juga gagal. Hingga akhirnya sebuah idea yang terdengar bodoh dilakukan hanya dalam satu malam. Salah satu pertahanan yang agak lemah adalah melalui selat Golden Horn yang sudah dirantai. Idea tersebut akhirnya dilakukan, iaitu memindahkan kapal-kapal melalui darat untuk menghindari rantai penghalang, hanya dalam semalaman dan 70 buah kapal akhirnya berjaya memasuki wilayah selat Golden Horn.

29 Mei, setelah sehari beristirahat, Sultan Muhammad Fateh kembali menyerang, diiringi hujan dengan tiga lapis pasukan, irregular di lapisan pertama, Anatolian Army di lapis kedua dan terakhir pasukan Yanisari. Giustiniani sudah menyarankan maharaja Konstantine untuk mundur atau menyerah tetapi Konstantine tetap bertahan hingga gugur di peperangan. Kabarnya maharaja Konstantine melepaskan baju perang kerajaannya dan bertempur bersama pasukan biasa hingga tidak pernah ditemukan jasadnya. Giustiniani sendiri meninggalkan kota dengan pasukan Genoanya. Kardinal Isidor sendiri melarikan diri dengan menyamar sebagai budak melalui Galata, dan Pangeran Orkhan gugur di peperangan.

Konstantinopel telah jatuh, penduduk kota berbondong-bondong berkumpul di Hagia Sophia, dan Sultan Muhammad Fateh memberi perlindungan kepada semua penduduk, siapa pun, baik Islam, Yahudi ataupun Kristian. Hagia Sophia pun akhirnya dijadikan masjid dan gereja-gereja lain tetap sebagaimana fungsinya bagi penganutnya.

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapakah selayaknya menjadi imam. Sultan Muhammad Fateh memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya untuk bangun dan baginda lantas berkata. "Siapa di antara kamu sejak balighnya hingga ke saat ini pernah meninggalkan sembahyang fardhu sila duduk!" Tiada seorang pun yang duduk, melambangkan tidak ada seorang pun di antara mereka yang pernah meninggalkan sembahyang fardhu.Sultan Muhammad Fateh berkata lagi, "Siapa di antara kamu yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan sembahyang sunat rawatib sila duduk!" sebahagian daripada tenteranya duduk. Sultan Muhammad Fateh meneruskan lagi, "Siapa di antara kamu yang sejak baligh hingga ini pernah meninggalkan sembahyang tahajjud, sila duduk!" Kali ini seluruh tenteranya duduk, kecuali seorang. Dia itu tidak lain tidak bukan ialah Sultan Muhammad Fateh sendiri. Dialah orang yang tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat Rawatib dan solat Tahajjud sejak akil baligh. Inilah dia anak didikan Shamsuddin Al Wali dan dialah ketua yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah s.a.w.

Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menaklukkannya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan yang berada di bawah komandonya adalah sebaik-baik pasukan.” [H.R. Ahmad bin Hanbal Al-Musnad]

Mat Jue memuncungkan mulutnya. Berat nak mengaku yang aku tak salah sewaktu memikirkan strategi perang tadi. Aku tersengih-sengih, tanda aku menang lagi hari ini. Tok Ayah menamatkan ceritanya. Tok Mek datang membawa sedulang ubi kayu rebus dengan sambal ikan bilis. Berasap berkepul-kepul ubi rebus itu. Terus aku dan Mat Jue melupakan sengketa sebentar tadi.

Hari ini aku berdiri lagi di sisi alur kecil itu. Dari jauh aku lihat Mat Jue tersengih memandang aku. Lama sudah kisah itu berlalu. Aku dan Mat Jue masih kanak-kanak umur lima enam tahun ketika itu. Pohon ketapang pun sudah tiada lagi. Ditebas oleh arwah Tok Ayah kerana aku dengan Mat Jue suka sangat memanjat sampai pernah terjadi Mat Jue patah tangan kerana aku tolak dari atas dahannya yang tinggi lebih 2 meter itu.

“Assalamualaikum. Lama tak jumpa. Sihat ke, bakal jurutera NurAin?” Mat Jue, 24 tahun.

“Waalaikummussalam. Alhamdulillah sihat doktor Zulfikri.” Aku, 23 tahun. Kembali aku tersenyum melihat Mat Jue dan alur kecil, serta memori Sultan Muhammad Fateh.

Tuesday, September 11, 2007

Mimpi 1522 Hijrah

Karya asal : tokkura
May 17, 2007 4:45 pm

Saya terjaga, mata masih terpisat-pisat cuba menyesuaikan dengan keadaan yang sedikit terang selepas terjaga dari tidur. Cuba mengingati kembali, apa yang telah saya lakukan sebelum tidur. Itulah, ibu selalu berpesan, jangan tidur waktu remang senja, nanti boleh jadi gila. Haha.. Saya tersenyum sendiri mengingati amanat arwah ibu. Tubuh sasa itu, di mana Adam? Kembali saya tersenyum mengingatkan detik-detik romantis siang tadi. Adam memang romantis, berbeza dengan lelaki-lelaki lain yang saya kenali. Masih menyimpul senyum, saya kembali menarik selimut membalut badan.

“Ibu, kakak sudah bangun!”

Siapa? Suara kanak-kanak manakah itu? Gemersik sekali, seperti saya pernah berjumpa dengannya di suatu tempat. Dan tiba-tiba, suasana yang suram itu dilimpahi cahaya kalimantang terang benderang. Saya memejamkan mata cuba untuk menyesuaikan dengan jumlah cahaya masuk ke mata. Berdiri di hadapan saya seorang wanita berambut panjang hitam ke pinggang. Lurus dan cantik sekali. Mungkin dalam lingkungan pertengahan 40-an. Lembut wajahnya, sepertinya dia seorang ibu yang sangat penyayang dan di sisinya berdiri seorang kanak-kanak perempuan dalam usia sepuluh atau sebelas tahun. Seketika kanak-kanak itu cuba berselindung di belakang ibunya ketika bertentangan mata dengan saya.

“Bagaimana, sudah rasa sihat sedikit?”

Saya masih bingung. Tidak menjawab soalan yang dilemparkan. Suasana dalam bilik saya juga sudah berubah. Ya, masih bilik saya yang dahulu. Cumanya hiasan dalamannya sudah berubah, dan yang pasti, bukan milik saya. Kertas dindingnya dipenuhi dengan bunga-bunga kecil warna ungu, seolah seperti lavender. Katilnya juga bercadar ungu dan segalanya berwarna ungu. Ada meja belajar di suatu sudut, dan buku-buku disusun rapi. Ilmu hisab dan senibina, kejuruteraan mekanikal Islam…?? Peliknya nama. Ada sejadah, ada kopiah putih. Di mana saya?

“Ini bilik anak sulung saya, Amar. Kamu selamat saja, jangan risau.”

“Kejap, kejap.. siapa awak, siapa budak kecil tu, siapa Amar? Dan sini ni, rumah siapa. OK, ok, this is your house right?! Tapi kenapa dan bagaimana aku.. emm, saya boleh berada di sini?”

Wanita itu mengukir senyum. Mungkin berniat untuk mempersendakan saya yang kebingungan. Manusia memang suka mentertawakan manusia lain. Mencari kesalahan orang lain. Saya diajar oleh dunia untuk pesimis kepada semua orang, termasuklah Adam. Namun, senyumnya kelihatan ikhlas. Saya rasa selamat. Tenang.

“Saya Sumayyah. Ini Balqis.” Sambil tangannya memegang bahu kanak-kanak perempuan itu. Mata Balqis berwarna biru laut. Barulah saya sedar, mereka mempunyai sepasang mata yang cantik. Wanita yang menggelar dirinya Sumayyah itu juga mempunyai sepasang mata yang berwarna biru laut.

“Amar yang menemukan kamu.”

“Natasya. Ain Natasya binti Abdullah.”

“Amar yang menemukan Ain. Tiba-tiba Ain ada dalam bilik ini, di atas katil ini. Tiada siapa yang tahu dari mana Ain datang, melainkan Allah yang Satu.” Sudah saya katakan Natasya, dipanggil juga Ain. Huh..!!

Dalam bilik ini? Takkan saya turun dari langit pula. Apalah perempuan ini mengarut.

“Saya nak mandi. Bilik air di mana?”

Wanita itu masih tersenyum. Dan menghulurkan tuala bersih dan sepasang persalinan lengkap. Selepas menunjukkan di mana bilik air, mereka berdua meminta izin untuk keluar. Bersopan sekali tingkah Sumayyah dan Balqis. Walaupun saya mungkin turun dari langit, tapi saya masih tetap tetamu yang perlu dilayan dengan baik. Haha..

Seusai mandi dan bersiap, saya merayau-rayau sekeliling kamar itu. Menyelak langsir dengan corak abstrak dengan rona ungu – betulkah ini kamar Amar, tak sesuainya ungu dengan lelaki. Fikir saya. Ternyata, pemandangan di balik langsir itu masih sama dengan pemandangan dari bilik saya. Tidak syak lagi, ini adalah rumah saya. Kondominium tingkat 15 ini saya beli dengan wang titik peluh sendiri. Kondominium tiga bilik ini, saya miliki kala umur baru mencecah 24 tahun. Tahun 2007 hadir, dan saya baru berusia 26 tahun. Bagaimana saya mampu memiliki semua ini dalam usia yang muda? Haha.. terima kasih kepada ayah yang mengajar saya untuk mencari rezeki dengan maruah saya.

Kisah hidup saya tidak seindah dan secantik kisah hidup manusia-manusia biasa. Tidak pernah berpeluang untuk menjejakkan kaki ke sekolah menengah. Semasa arwah ibu masih hidup, kami berdua mencari rezeki dengan menjual nasi lemak ke kantin sekolah. Saya tidak pernah mengenal siapa itu ayah saya. Orang kampung menggelar saya anak haram. Kata ibu, biarkan saja mereka berkata-kata, nanti mereka akan penat sendiri. Namun, ibu yang setia menemani saya meninggal ketika saya masih berumur 15 tahun. Dan entah dari mana, tiba-tiba ayah muncul. Saya pernah melihat wajah ayah dari sekeping gambar yang ibu simpan. Ayah mengajak saya pindah dari kampung, dan kami melangkah ke bandar. Mulanya saya fikir, Allah pasti membantu anak yatim dan kerana itu Dia mengembalikan ayah kepada saya yang kehilangan ibu. Di bandar, ayah ajar saya bagaimana untuk menjual diri dan maruah.

Mulanya saya menentang dan menangis, namun ayah pesan, manusia semuanya busuk hati. Siapa yang miskin akan dihina dan dicaci. Andai kita punya wang dan pangkat, tiada siapa akan bertanya asal-usul kita. Semuanya akan hormat kita. Saya tidak mahu lagi dihina dan dicaci. Tidak mahu lagi digelar anak haram. Tidak mahu menderita seperti ibu. Walau ibu tidak menceritakan kepada saya, namun saya tahu. Ibu menderita dan sakit kerana cacian orang kampung. Buat pertama kalinya, ayah suruh saya bersiap dalam sebuah bilik kecil dan seorang lelaki hadir. Selepas semuanya selesai, saya akan diberi ganjaran. Ganjaran yang diterima sangat lumayan, jumlah pendapatan menjual nasi lemak saya dan ibu untuk sebulan. Dan saya memperolehinya dalam masa 2 jam sahaja.

Saya semakin bijak berurusan dan mencari pelanggan. Sambil mencari rezeki, saya mula membina hubungan bisnes. Ketika saya mencecah 20 tahun, saya punya sugar daddy berpangkat dato` dan mendapat syer di atas nama saya. Ketika berusia 23 tahun, saya meninggalkan sepenuhnya bidang `maruah` dan menumpukan perhatian kepada perniagaan. Harta saya makin bertambah, dan pangkat saya makin tinggi di mata manusia. Saya tidak lagi digelar anak haram. Di mana-mana saya dihormati.

“Kak Ain, ibu panggil makan.” Balqis bersuara dari celahan daun pintu. Terkejut saya, kalau ye pun ketuklah dulu.

“Saya ketuk tadi, Kak Ain tak jawab. Afwan.” Erkk.. dia boleh baca hati aku ke?!

Saya sekadar mengangguk dan menurut Balqis. Balqis merenung saya dan tergak-agak untuk bersuara.

“Kenapa?” Pelik sangat ke saya pakai baju kurung ni? Dah ibunya yang bagi baju kurung ni, saya pakai sajalah. Takkan nak komplen pula walaupun saya sendiri sudah bertahun tidak berbaju kurung.

“Ermm.. abang Amar ada di rumah. Semua sedang menunggu di bawah untuk makan malam.”

“Oo..ok. Maaf kerana membuatkan semua menunggu.”

Saya melangkah ke luar kamar dan bersedia untuk menuju ke ruang makan. Namun Balqis masih tercegat. Saya memandang dan membuat isyarat kenapa. Balqis teragak-agak dan akhirnya perlahan berjalan melintasi saya dan menuju ke ruang makan.

Di ruang makan kelihatan wanita yang menggelar dirinya Sumayyah tadi dan seorang remaja perempuan sedang duduk di kerusi menghadap meja makan. Remaja perempuan itu seolah-olah terkejut melihat saya. Sumayyah sekadar tersenyum. Balqis tunduk seperti rasa bersalah. Saya tidak faham dengan keluarga ini. Seorang lelaki muncul menatang dulang berisi makanan, dan sewaktu melihatkan kehadiran saya, mata bertentang sesaat. Terus dia menundukkan pandangan dan wajahnya ke lantai.

“Ibu, Amar makan di ruang tamu saja. Afwan..” Lelaki itu yang mungkin hampir sebaya dengan saya berpaling untuk beredar. Saya masih bingung, kenapa?!

“Amar sayang, makan di sini sajalah. Tidak baik berpaling dari tetamu sebegitu.” Sumayyah berpaling menghadap saya sambil tersenyum.

“Aisyah, tolong ambilkan tudung untuk kak Ain. Boleh sayang?” Remaja perempuan itu berlalu dan kembali dengan sehelai kain tudung, menghulurkan kepada Sumayyah. Sumayyah menyelak rambut saya yang berjuntai di hadapan, dan memakaikan tudung rona coklat itu. Saya seperti orang bodoh sahaja, menurut apa yang diperlakukan. Terimbas kembali arwah ibu yang pertama kali memakaikan saya tudung sewaktu saya memberitahu ibu tentang saya yang sudah didatangi haid.

Amar kembali ke kerusi yang kosong dan kami berlima menjamu selera. Hidangannya simple, namun teryata berjaya membuka selera saya. Sekadar nasi lemak berlaukkan ayam goreng sahaja. Sambil menyuapkan nasi ke mulut, mata saya meliar ke segenap pelusuk rumah. Sekali lagi saya amat pasti, ini adalah kondo milik saya! Hiasan sudah jauh berubah. Sederhana, namun redup mata memandang. Seolah-olah saya melihat Sumayyah itu sendiri, begitulah saya melihat hasil tangannya.

Dan.. sekeping kalendar di atas rak buku. 10 Rabiulawal 1522 Hijrah. Huh.. Ada lagi ke manusia yang menggunakan kalendar Islam di Malaysia ini. Pelik sungguh keluarga ini.

“Suami awak tak pulang makan malam ke?”

“Ayah dah tiada. Meninggal tahun ke 1511 Hijrah.” Pantas remaja perempuan yang digelar Aisyah itu menjawab.

“Maaf. Sudah lamalah ye. Sudah sepuluh tahun yang lalu, tahun 1997.”

Semua serentak terhenti. Sumayyah dan anak-anaknya berpaling menghadap saya. Kenapa?! Sempat saya perhatikan, Amar sekadar memandang sekilas, dan terus menundukkan pandangannya. Jijik sangatkah saya ini? Huh.. Meluatnya saya!

“Sepuluh tahun yang lalu adalah tahun 2091 mengikut kalendar Masihi.” Tuntas Balqis.

“Sorry… ini tahun apa?” Saya bingung amat.

“Kenapa enti tahu perkataan tamadun lama itu?” Amar bersuara dalam nada yang perlahan.

Apa yang sedang berlaku ini? Saya makin tidak mengerti.

“Sekarang tahun 2101 Masihi. Ain dari tahun ke berapa Masihi?” Lembut suara Sumayyah.

“OK, what the hell is going on right now?! Kenapa tanya soalan begitu.”

“Meski ibu ana tidak memahami bahasa purba itu, tapi ana harap enti boleh menghormati ibu ana. Sila jangan guna perkataan yang kasar.” Masih tidak memandang saya.

“Maaf, saya tidak berniat begitu. Saya lahir tahun 1981, sebulan yang lepas baru sahaja menyambut ulangtahun ke 26 pada 26 Mac 2007. Minta Encik Amar yang kelihatannya sangat arif, menerangkan apa yang terjadi.”

Kami menyudahkan hidangan makan malam dengan tenang meski hati saya teramat bercelaru apabila diberitahu sekarang adalah tahun 2101. Mustahil!! Usai semua menjamu selera, Sumayyah mengajak semua ke ruang tamu. Amar masih seperti tadi, menundukkan sahaja pandangannya dari memandang saya. Saya benci amat!

Amar bercerita seringkas mungkin. Namun saya sukar menerimanya, teramat sukar.

2007, zaman saya hidup dahulu sudah lama. Terlalu lama kerana sekarang dunia sudah menghadapi tahun 2101. Wawasan 2020 yang diwar-warkan tidak kesampaian. Malaysia ketandusan pemuda-pemudi penegak bangsa. Semuanya hanyut dalam dunia masing-masing. Remajanya terlampau sibuk dengan rancangan realiti tv yang muncul semakin hebat menjelang tahun 2020. Tidak cukup dengan juara-juara lagu, bahkan ditambah lagi dengan Malaysia Top Model, dan sebagainya. Jenayah dan salahlaku moral berleluasa. Korupsi Malaysia mengatasi Filipina, para ulama dan cerdik pandai dihalau negeri kerana dikatakan terlalu sibuk memikirkan halal haram sehingga menjejaskan pentadbiran negara. Semua penceramah-penceramah masjid, imam, ustaz diturunkan gaji sehinggakan mereka terpaksa mencari sumber rezeki lain. Murtad berleluasa, jika dahulu kerajaan membantah tegas perkara ini, namun pengakhirannya kekalahan di pihak kerajaan kerana wujudnya menteri yang dahulunya beragama Islam yang juga akhirnya murtad.

Malaysia seolah-olah sudah tidak punya harapan lagi untuk dikembalikan kepada negara Islam yang sebenar. Ekonomi Malaysia kukuh, imej Islam Hadhari juga tidak pernah luput selama maksiat bermaharaja lela itu, namun moral semakin merundum. Tahun 2050 menjelang dan berlaku rampasan kuasa di Malaysia oleh rakyat yang berusaha secara diam-diam dengan bantuan negara Jepun yang ketika itu memiliki separuh dari jumlah rakyatnya yang beragama Islam. Tarbiyyah yang dilakukan secara berperingkat mula menampakkan hasil. Mahasiswa luar negara dan dalam Negara bertindak serentak. Begitu juga dengan para sasterawan negara yang tua mahupun yang muda. Menggembeleng tenaga membentuk kembali pentadbiran dan undang-undang Malaysia.

Silibus pendidikan digubal seratus peratus, sistem jual beli malah sehingga kepada sistem mengasingkan lelaki dan perempuan dalam komuter juga telah digubal. Dalam membina sebuah negara baru itu, ramai yang syahid. Dibunuh oleh golongan hartawan yang tidak suka kepada perubahan. Namun, satu yang hilang sepuluh yang bangkit berdiri!!

Kini Malaysia sudah hilang. Yang wujud adalah Darul Iman, gabungan negara-negara Asia yang dulu. Tamadun Islam kembali teguh. US dan England masih belum bersatu, namun mereka sudah tidak punya suara. PBB dikuasai oleh Rusia, China dan Perancis yang semuanya adalah negara Islam dibawah satu pemerintahan Amirul Mukminin Darul Iman.

Panjang cerita Amar. Saya mendengar dengan khusyuk sekali seolah-olah sebuah dongeng sebelum tidur. Dan saya terjaga, tertidurkah saya? Pastinya Amar akan memarahi saya…

Ruang tamu tadi yang terang benderang, kini gelap. Saya sedang berbaring di atas katil rumah saya, tanpa sehelai pakaian pun. Adam di sebelah. Tertidur keletihan. Saya termenung, bermimpikah saya?! Tentang Sumayyah dan keluarganya. Amar yang sentiasa tunduk, Balqis yang pemalu, Aisyah yang kurang bercakap, kamar rona ungu itu… cahaya matahari mencuri masuk melalui ruang-ruang antara langsir jendela. Saya bangun mengenakan jubah tidur yang berselerakan di lantai dengan pakaian-pakaian saya dan Adam. Masih dengan kepala yang sarat seolah-olah Sumayyah dan keluarganya benar-benar wujud, saya melangkah ke kamar mandi.


Meninggalkan Adam yang masih lena.

Dari kamar mandi, saya mengeringkan rambut yang basah. Mula mengenakan pakaian untuk hari ini. Sederhana saja sudah cukup. Sepasang sut jaket rona peach dipadankan dengan skirt pendek paras lutut dan blouse merah. Menyapu bedak asas, lipstick dan segalanya. Adam sudah terjaga. Lagipun jam sudah menunjukkan ke pukul 9 pagi. Adam tidak perlu ke pejabat. Masih mahasiswa universiti, malah segala perbelanjaan sewaktu keluar makan, saya yang bayarkan. Hari ini hari biasa bagi saya. Perlu ke pejabat untuk meeting dengan client dan sebagainya. Adam memeluk pinggang saya dari belakang dan mencium pipi sebelum saya keluar rumah.


Saya kunci pintu rumah, dan melangkah ke lif. Baru saja ingin menekan punat tutup pintu, seorang lelaki berlari-lari untuk bolos masuk. Saya tekan punat buka pintu dan membenarkannya masuk. Lelaki itu memandang saya sekilas dan terus menundukkan pandangannya. Degup hati saya seolah terhenti seketika.

“Amar?!”

“Ya, saya.”

Dia dengan pandangan hairan memandang kurang dari sesaat, dan terus tunduk kembali.

Friday, September 07, 2007

Maaf kepada semua

Setelah sekian lama saya mengabaikan ruangan ini, hari ini terasa seperti mahu mengunjunginya. Cerpen 'Kisah Kita' sudah teramat lama terbengkalai. Mungkin saya patut membuat satu pengumuman.


Pemberitahuan :
"Di atas beberapa masalah teknikal, cerpen 'Kisah Kita' tidak akan disambung lagi. Maaf kepada semua pembaca di atas segala kesulitan."



InsyaAllah akan saya letakkan beberapa karya yang telah ditulis sepanjang ketiadaan saya di ruangan ini. Beberapa karya yang pernah diletakkan di ruangan Bicara Kalam... akan saya kumpulkan dan akan di'publish'kan semula di sini. Harap maaf kepada semua.

Terima kasih kepada semua yang sudi menyokong saya selama ini.


tokkura


Thursday, November 23, 2006

Kisah Kita

**Karya masih dalam proses. Saya siarkan apa yang termampu. Sebarang nama dan watak yang disebut tidak berkaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Juga tiada kaitan dengan yang belum dilahirkan ke dunia. Sekiranya entri sambungannya lambat disiarkan, harap dimaafkan.


Penat berlari tadi belum hilang lagi.Aimi duduk di tepi padang sambil mengesat peluh yang mengalir membasahi pipinya yang kemerahan dengan kepanasan matahari jam 5 petang. Semua orang sibuk membuat persiapan menghadapi hari sukan sekolah yang bakal berlangsung. Suasana padang yang biasanya hanya dikunjungi atlit-atlit sekolah setiap petang,kini dipenuhi dengan hampir semua warga SM Tengku Alwi. Di sebelah kanan padang telah terpacak 4 buah khemah besar mewakili setiap rumah sukan masing-masing. Abu Bakar,Umar,Uthman dan Ali. Ada yang sedang sibuk menghias khemah, bagi pengawas sekolah, sibuk menyiapkan astaka utama yang disediakan untuk para jemputan khas dan ibu bapa. Kepada yang menyertai pertandingan sibuk menyiapkan diri untuk hari perlawanan nanti. Bagi Aimi, dia juga sibuk berlatih untuk hari sukan nanti. Mewakili Uthman untuk larian individu 100 meter dan 200 meter. Tapi hari sukan itu tidak menjadi beban langsung memandangkan Aimi memang atlit sekolah dan pernah mewakili Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kelantan (MSSK) ke Sukma 1998. bagi Aimi, ini hanyalah salah satu latihan hariannya selama 3 tahun di SM Tengku Alwi.

“Hai Aimi. Takkan dah penat kot. Tak cun la camni.”

“Ya Allah! Tak boleh ke tegur orang baik-baik. Ini tidak, darilah kecil sampai dah masuk form 4, kerjanya nak buat orang terkejut je. Cuit la slow-slow, takyah tepuk-tepuk belakang aku. Aku ni perempuan, kau tu budak lelaki, cubalah jaga batas sikit.”

Taufiq tersengih disembur Aimi. Kemudian tanpa disuruh, dia melabuhkan punggung di sebelah Aimi. Sama-sama memandang ke tengah padang, melihat kesibukan teman-teman.

“Ish,kau ni kenapa? Tak pernah-pernah sebut pasal batas-batas lelaki perempuan,tiba-tiba hari ni lain macam pulak. Tomboy macam kau pun nak kena jaga batas-batas juga ke. Dengan aku pulak tu. Dah berapa lama kita kenal, tiba-tiba nak kena buat macam tu. Apsal, ada prob ke?”

Aimi diam. Cuma keluhan yang keluar dari bibir kecil itu. Dia sendiri pun tidak tahu apa yang dikatakan sebentar tadi. Masalah yang timbul membuatkan Aimi tidak keruan. Latihannya sebentar tadi pun tidak menampakkan hasil yang membanggakan. Hampir-hampir dia dileter oleh cikgu Rahman. Bagi Aimi, antara dia dengan Taufiq, teman baik yang dikenali sejak sekolah rendah lagi, tidak pernah wujud batasan lelaki perempuan. Sementelahan pula Aimi memang dikenali dengan sifat tomboy. Tetapi, sejak memasuki tingkatan 4, wujud pula halangan yang dia sendiri tidak menyangkanya. Jauh di tengah padang, dilihatnya Mastura, pelajar baru yang memasuki kelasnya sibuk menghiasi khemah Ali, sambil bergelak ketawa dengan riang. Hai..alangkah bahagianya jika tiada masalah sebegitu.

“Woits.. kau ni kenapa. Kau dengar tak apa yang aku ceritakan ni? Jauhnya mengelamun. Kau tengok siapa tu.. Fikri? Ha..takkan ko minat kat Fikri kot? ”

“Hoi! Kau gila apa? Takde kerjanya aku nak gi minat kat Fikri tu. Aku tengah berfikir la.”

“Berfikir apanya. Fikir tentang Fikri lah tu. Fikri tu hensem apa.. kapten bola sepak lagi. Ramai peminat, tapi kau juga yang dia suka ye. Bila kau nak bagi aku baca surat yang dia bagi kat kau tu? Kedekut betul la minah ni..”

“Sudah-sudah. Malas nak layan kau. Aku balik dulu lah.” Aimi bangun meninggalkan Taufiq. Pantas dia berpaling ingin mendapatkan basikal yang diletakkan di belakang astaka, sepantas itu jugalah Taufiq menangkap tangan Aimi menariknya sehinggakan Aimi hampir terjatuh.

“Duduk. Kau jangan nak rahsiakan apa-apa dari aku. Aku tahu, kalau kau dah buat perangai macam ni, ada something yang kau rahsiakan dari aku.”

“Mana ada apa-apa! Aku nak balik je la.”

“Woit makcik, aku kenal kau bukan semalam tau tak! Dah dekat sepuluh tahun. Sejak dari standard 1 lagi. Kalau kau simpan masalah tu seorang-seorang pun, bukannya masalah tu boleh hilang.”

“Aku..aku.. Ish, takde pape la.”

“Ermm… jom aku temankan kau balik. Tak nak cerita sudah.”

Aimi bangun mendapatkan basikalnya.

“Aku tak bawa basikal hari ni. So, kau kena jalan kaki jugalah temankan aku.”

“Cet, patutlah nak temankan aku balik. Rupanya aku yang kena temankan kau jalan kaki balik. Suka menyusahkan aku betullah kau ni.”

Taufiq tersengih. Malas nak bergaduh dengan Aimi. Sebab memang dia yang bersalah pun. Pagi tadi terbangun lewat, terpaksa suruh Along hantarkan dengan kereta. Aimi dengan Taufiq berjalan beriringan keluar dari sekolah menapak ke rumah. Sambil-sambil berjalan tu, ada saja yang nak diborakkan sampai penat keduanya ketawa dengan lawak sama sendiri. Rumah Aimi di Taman Cempaka cuma 1 kilometer saja dari sekolah, manakala Taufiq di Taman Permai, lagi setengah kilometer. Dari jauh kelihatan rumah Aimi, tersergam kaku, dipanah mentari senja jam 6:30 petang. Langkah kaki Aimi kaku, tidak mampu menapak lagi.

“Fiq, aku tak nak balik rumah lagi. Temankan aku pergi taman permainan belakang tu.” Tutur Aimi perlahan, hampir sahaja tenggelam dengan deruman enjin kereta yang lalu-lalang di sekitar.

Aimi diam membisu. Taufiq sekadar menunggu butir bicara Aimi. Yang kedengaran hanya bunyi besi buaian menampung berat badan mereka sambil berayun perlahan. Desiran angin menyentuh lembut pipi.

“Papa nak kahwin lain.” Suara Aimi kedengaran bergetar menahan sebak. Taufiq diam membiarkan Aimi dengan perasaannya.

“Kau tahukan, mama baru saja pergi. Baru tahun lepas mama masih ada, menemani aku belajar, memberi kata semangat untuk aku menghadapi PMR. Kau pun ada, kau pun tahukan mama seorang yang sangat baik. Papa kejam, sangup menduakan mama. Apa salah mama sampai papa sanggup untuk kahwin lain. Perempuan tu pun tak sedar diri. Dah tahu dia tu anak dara lagi, carilah yang sebaya. Kenapa nak ambil papa juga. Mama tak layak untuk diduakan papa. Papa kejam!!”

Taufiq masih diam. Dia sendiri pun mati akal untuk memujuk Aimi. Dulu sewaktu Aimi menangis meratapi kematian mamanya, Taufiq cuma mampu melihat. Waktu itu lain, Aimi bukan memberontak. Aimi cuma perlukan teman untuk menemaninya menangis. Taufiq bukannya reti dalam bab pujuk memujuk ni.

“Kenapa diam. Kau setuju ke papa kahwin lain?”

“Mie, kau dah 16 tahun. Kalau aku cakap apa-apa pun, belum tentu kau nak terima kata-kata aku. Papa kau lelaki. Lagi pun dia masih muda Mie. Dah tentu dia perlukan seorang teman untuk bersamanya dalam semua hal. Semasa susah, senang, sakit.”

“Aku ada! Papa tak perlukan orang lain. Aku dan papa ada sama sendiri untuk menolong. Kalau papa susah hati, papa boleh ceritakan pada aku. Kenapa mesti wujud orang luar?!”

“Kau lain Mie. Kau budak-budak lagi. Kau ..”

“Kau pun sama saja dengan papa Fiq! Senang-senang je boleh menduakan hati perempuan. Hilang seorang, sekejap saja boleh cari pengganti. Aku ingatkan kau memahami hati aku.” Sekeras-sekeras sifat tomboy Aimi, kalah juga dengan air mata sendiri. Kecewa dengan sikap Taufiq, Aimi bangun ingin pulang.

“Aimi, listen to me Aimi! Kau kena faham keadaan papa kau. Aku bukan menyebelahi dia sebab dia lelaki. Aku ..”

“Kau sama saja!” Sepenuh hati Aimi menolak Taufiq yang berusaha keras menghalang Aimi dari pulang, selaju itu jugalah air mata Aimi menuruni pipinya.

“Aimi, kau bukan kanak-kanak. Fikirlah secara lojik! Jangan nak ikutkan hati kau saja. Fikirkan keadaan papa juga..” Aimi sudah mula meronta-meronta cuba melepaskan genggaman tangan Taufiq yang kejap memegang pergelangan tangannya.

“Lepaskan aku! Fiq, lepaskan aku!!”

“Aimi!!” Aimi terdiam, diam dalam kejapnya pelukan Taufiq. Kehangatan pelukan Taufiq menghamburkan air mata Aimi. Melepaskan segala yang terbuku di hati.

“Mie, aku faham perasaan kau. Kalau aku di tempat kau sekali pun, belum tentu aku mampu nak menghadapinya. Tapi kau bukan kanak-kanak yang masih berebutkan gula-gula dengan sesiapa. Kau dah dewasa. Dah mampu berfikir apa yang patut. Kau tak patut menghukum papa kejam hanya kerana dia ingin berkahwin lain. Papa manusia Mie. Papa ada perasaan. Sama seperti kita semua Mie. Perasaan ingin menyayangi, ingin disayang. Inginkan teman bercerita suka duka. Memang sebelum ini semua hal papa ceritakan kat kau Mie. Tapi, ada juga hal yang tidak boleh dia ceritakan pada kau. Papa pun tidak mahu menyusahkan kau dengan masalah hidupnya.”

Lembut suara Taufiq memujuk Aimi. Sambil tangannya membelai halus rambut Aimi.

“Aku tahu. Tapi terlalu awal untuk aku menerima semua ini.” Tangisan Aimi mula reda. Tetapi pelukan Taufiq masih belum dilepaskan. Dia selesa dengan kehangatan bidang dada Taufiq.

“Lagi satukan Mie, papa perlukan seseorang untuk menguruskan rumahtangganya. Untuk memasak, menggosok pakaian, dan lain-lain. Nak harapkan kau, memang tak buatlah. Kau tu budak lelaki.”

“Woit.. aku budak perempuanlah. Suka hati je kata aku budak lelaki.” Aimi merenggangkan pelukan Taufiq. Bengang dengan kata-kata Taufiq.

“Eh, perempuan ke?! Ingatkan budak lelaki tadi. Nampak seronok je peluk aku, macam takde batasan je lelaki perempuan.” Taufiq tersengih membalaskan paku buah keras yang diterima tadi.

“Cet, dia yang peluk aku dulu. Pandai-pandai kata aku pula yang gembira peluk dia. Kalau gitu, baik aku pergi peluk Fikri. Lagi hensem dari kau.” Aimi berkata sambil kaki menapak mendapatkan basikal, membelakangkan Taufiq. Merah padam mukanya menahan malu dipeluk Taufiq.

“Hahaha… cakap je lebih. Kalau ada apa-apa masalah nanti, aku juga yang kau cari. Kau perlukan aku, aku pun tak boleh kalau takde kau. Kita akan selamanya kawan. Sama saja dengan papa. Perlukan seseorang untuk menjadi kawan baiknya.”

“Ermm..ok ok. Aku dah faham dah apa yang kau cakap tadi. Takyah ulang dua tiga kali. Bingit telinga ni tau! Ok lah, aku balik dulu. Bye ~..” Aimi tersenyum memandang Taufiq.

Taufiq gembira dengan penerimaan Aimi. Senyuman Aimi menenangkan hatinya. Senyuman itulah yang menemani tidurnya sejak kebelakangan ini. Dia pun kurang pasti kenapa wajah itu yang sering bermain di fikirannya. Dah angau agaknya aku ni.. Taufiq tersenyum sendirian mengenangkan dirinya. Terkenangkan Aimi yang malu-malu dipeluknya tadi. Dia tahu, perbuatannya telah melampaui batasan agama. Tapi badannya bertindak sebelum sempat akalnya berfikir. Hai Taufiq, banyak-banyak budak kelas kau yang cun, lemah lembut, Aimi yang kasar itu jugak yang kau suka. Dan, tidur Taufiq malam itu diiringi senyuman Aimi lagi.

********

Hari sukan sekolah berlalu, berlangsung dengan jayanya. Aimi seperti biasa merangkul emas untuk kedua-dua acara yang disertainya. Taufiq juga, sebagai wakil MSSK, merangkul emas untuk 100 meter dan 1500 meter. Rumah Abu Bakar menjadi johan tahunan. Hangat semangat kesukanan mulai reda. Semua mula menjalani rutin harian masing-masing. Yang tinggal di padang hanya mereka yang aktif bersukan sahaja. Hari ini suasana panas, cahaya matahari menggigit kulit. Taufiq tidak meneruskan latihan larian hari ini. Dia memilih untuk bermain bola sepak bersama-sama Fikri dan teman-teman. Sekadar untuk suka-suka dan mengeluarkan peluh sahaja.

Raziq menyepak bola kepada Taufiq. Taufiq cuba membawa ke atas terus ke pintu gol. Tapi di halang pantas oleh Fikri, Fikri menyepak bola, keluar padang. Semua tergamam. Cantik sepakan Fikri, laju menuju ke arah Aimi yang sedang berlari mengelilingi padang. Aimi tidak meyedari kehadiran bola tersebut, bukk!! Bahu Aimi terkena bola. Jatuh terduduk Aimi, macam nangka busuk. Aimi yang memang mudah bengang, pantas mengutip bola, menapak ke arah pemain-pemain bola. Semua tergamam, tidak sanggup mendengar leteran Aimi yang terkenal dengan amarahnya.

“Siapa yang buat ni? Tak nampak ke aku kat situ? Korang ingat tak sakit kena bola ni?” Sembur Aimi. Taufiq tersengih, ingin melangkah ke arah Aimi, berniat ingin meredakan kemarahan Aimi..

“Sorry awak. Kita yang tendang bola tu tadi. Tak perasan pula awak kat situ.” Aimi terkejut, tidak disangkanya Fikri yang menendang bola. Tersentak niat Taufiq mendengar jawapan Fikri.

“Erk.. takpe lah awak. Kita pun salah. Tak patut kita terus marah-marah. Memanglah tak nampak orang sekeliling kalau dah main.”

Fauzi teman baik Fikri menyampuk.”Hai.. nasib baiklah Fikri yang menyepak bola tu. Kalau tak, mahunya semua orang kena sembur dengan minah garang ni. Macam manalah kau lembutkan budak Aimi ni ye Fikri. Macam ni lah agaknya budak-budak sekolah couple ye, awak kita..awak kita..” tercetus gelak tawa semua orang dengan kata-kata bersahaja Fauzi. Fikri sekadar tersenyum diusik teman-teman.

“Hoi!! Kau jangan nak cari pasal ye Fauzi. Siap kau nanti..”

“Aku balik dululah geng. Hari ni mak aku suruh balik awal tolong dia buat apa entah.” Kedengaran suara Taufiq di antara gelak tawa mereka yang masih bersisa itu. Aimi terhenti dari memarahi Fauzi. Melihat sahaja Taufiq meninggalkan kumpulan bola sepak itu dengan pandangan kosong. Aimi tidak menyangka Taufiq juga berada dalam kumpulan itu.

Setelah meminta diri dari Fikri, Aimi bergegas mengejar Taufiq. Kelibat Taufiq tiada di mana-mana. Aimi bergegas ke tempat letak basikal, masih ada basikal Taufiq terkunci rapi. Melangkah ke kelas, kelihatan Taufiq sedang mengemas buku-buku dan uniform sekolah, memasukkan ke dalam beg. Aimi melangkah ke kerusi, mengemaskan buku-bukunya.

“Fiq, temankan aku balik hari ni. Pagi tadi basikal pancit, aku minta papa yang hantarkan tadi.”

“I`m sorry, are you talking to me?”

“Yes, I`m talking to you Fiq.”

“Ooo.. ye ke. Ingatkan panggilan Fik tu untuk boyfriend kau. Fik is for Fikri. Bukan untuk Taufiq.” Perli Taufiq, sambil cuba mengawal emosi sendiri. Baru semalam dia berangan-angan untuk meluahkan perasaannya kepada Aimi. Siapa tahu, dia telah terlambat. Siapa tahu, gurauannya sebelum ini menjadi kenyataan. Akibatnya, hati sendiri yang kecewa.

“Fiq, please.. aku memang nak berterus terang kat kau. Tapi tadi aku tunggu kau kat tepi padang tu, tak ternampak pulak kelibat kau. Manalah aku tahu kau sedang main bola.”

“Aku bet kau mesti tengok jugakan budak-budak yang sedang main bola tu. Tapi musykil juga aku, macam mana kau boleh tak nampak aku. Biasanya kalau kau cari aku, dari jauh lagi boleh nampak. Ermm.. no wonder lah kan, kau nampak kaptennya saja. Memanglah tak nampak player lain kan, Aimi? Am I wrong?”

“Ok, aku minta maaf Fiq. I`m sorry. Aku couple dengan Fikri masa sport day minggu lepas. Aku nak bagi tahu kau, tapi aku malu. Nanti kau cakap, perempuan macam aku pun main cintan juga ke..”

“Wow..dah seminggu. Dan aku tak tahu langsung! What a friend… Takpe lah, semoga berbahagia.”

“Kau ni kenapa Fiq, jangan pula nak cakap kau jealous ngan Fikri kot..” Berderai tawa Aimi dengan ayat sendiri.

“Haha.. lawak gila. Sudah-sudah, takde masa aku nak jealous ngan Fikri tu. Cuma aku kecil hati je kau tak bagi tahu aku. Semua orang dah tahu, tiba-tiba aku kawan baik kau, tak tahu apa-apa. Dah, jom balik. Kang bising pula mak aku kat rumah tu.”

Lega hati Aimi mendengar tutur Taufiq. Sebenarnya dia malu nak mengaku yang dia sukakan Fikri. Takut nanti diketawakan Taufiq. Bukan dia tak kenal perangai Taufiq, suka mempersendakan dirinya.

Taufiq menarik tangan Aimi, mempercepatkan langkah. Dari jauh Fikri memerhati gelagat kedua teman baik tersebut. Muncul rasa cemburu yang membuak-buak. Memang wajar dia cemburu. Aimi miliknya, bukan Taufiq. Sebaliknya di fikiran Taufiq sibuk memikirkan mak di rumah. Mak di rumah mesti sudah bising. Katanya ada perkara yang nak dibincangkan bersama. Aimi terpaksa berlari-lari anak mengejar langkah Taufiq yang pantas. Mereka tiba di perkarangan letak basikal. Sedang Taufiq membuka kunci basikal, muncul Fikri.

“Awak, tadi awak kata tak bawa basikal. Nak kita temankan awak balik?” Aimi serba salah. Dia sudah berjanji untuk balik bersama Taufiq, tapi dia lebih ingin balik bersama-sama Fikri.

“Erm.. takpelah Mie. Kau baliklah dengan Fikri. Lagipun aku nak cepat ni. Kalau jalan kaki dengan kau, lagilah lambat.” Dirasakan berat untuk lidahnya mengucapkannya. Tapi Taufiq harus sedar, dia terlambat. Tiada siapa yang bersalah, melainkan dirinya sendiri.

“Hehe..ok ok. Take care. Kirim salam kat mak kau ye.”

**********

“Along, betul ke? Kenapa takde orang pernah bagi tahu Fiq pun sebelum ini. Mak, kenapa mak rahsiakan semua ni dari Taufiq?! Semua orang tahu tentang hal ini, kecuali Taufiq. Sedangkan empunya diri yang bukan anak kandung mak yang sebenarnya adalah Taufiq, Taufiq Abdul Rashid.” Taufiq terduduk mendengar berita yang baru didengarnya. Seakan bermimpi apabila diberitahu dia bukan anak kandung mak, bukan adik beradik sedarah daging dengan Along. Cuma anak pungut, anak angkat. Biarlah ayahnya orang kenamaan sekali pun, hartawan sekali pun, yang dia mahu, cuma menjadi ahli keluarganya yang sekarang sahaja. Anak mak, adik kesayangan Along.

“Mak bukan berniat untuk simpan semua cerita ini dari kau. Tapi kalau mak bagitahu kau dulu pun, kau tentu tetap tak boleh terima kenyataan ini. Kalau ikutkan hati mak, Along rasa dah tentu mak akan simpan cerita ini sampai bila-bila.” Along bersuara dengan harapan dapat menghilang rusuh di hati Taufiq. Tapi kenyataan sebegini mana mungkin menenangkan hatinya yang walang.

“Kau patut bersyukur akhirnya kau tahu siapa kau yang sebenarnya. Aku pun pelik dengan sikap mak, macam mana mak boleh sabar besarkan kau selama ini. Kalau aku dah lama buang anak pungut macam kau ni.” Tergamam semua orang dengan suara Angah yang baru muncul dari muka pintu. Sejak bila Angah berdiri di situ pun tiada siapa yang perasan. Taufiq makin terasa tersisih dari keluarganya. Pertanyaannya dengan sikap dingin Angah selama ini akhirnya terjawab. Sejak kecil Angah tidak pernah suka dengan Taufiq. Segala perbuatan Taufiq ada saja yang tidak kena. Segala layanan mak terhadap Taufiq selama ini selalu saja dibangkang Angah. Rupanya Taufiq hanya anak pungut. Anak pungut yang tidak layak langsung menumpang kasih keluarga ini.

Taufiq bangun dari sofa, setelah tiada kata yang keluar dari mulut mak. Sebelum ini pantang Angah membulinya, pasti mak akan pantas memarahi Angah. Mak akan membela Taufiq. Taufiq anak kesayangan mak. Semua permintaan Taufiq akan cuba dipenuhi mak walaupun Angah sering membantah. Taufiq bukan anak kesayangan mak lagi. Bukan anak bongsu keluarga ini lagi. Perlahan kakinya melangkah, menuju ke kamar. Berat hatinya untuk pergi, tapi Taufiq tiada kuasa menghalang semua dari berlaku. Kebisuan mak seolah-olah memberi kata putus bahawa Taufiq sudah tidak diperlukan lagi dalam rumah ini.

“Fiq, Fiq mahu ke mana?” lembut suara mak memanggil. Sayu hatinya Allah sahaja yang tahu. Suara mak bagaikan memujuk agar Taufiq terus tinggal dalam rumah ini. Rumah peninggalan arwah ayah.

“Fiq nak berkemas mak. Dua tiga hari lagi papa nak datang ambil. Banyak barang nak kena kemas.” panggilan `papa` hampir sahaja tenggelam dalam kerongkongnya. Siapa papa Taufiq? Nama sahaja papa, tapi sekali pun Taufiq tak pernah bersua dengan empunya nama.

Pantas ingatan Taufiq menjangkau kenangan silam. “Lelaki harus kuat. Bukan ke ayah selalu cakap, lelaki tidak boleh kalah dengan airmata, tidak boleh kalah dengan emosi.” Bagai terngiang-ngiang suara ayah di telinga Taufiq. Pemergian ayah empat tahun lepas juga tidak Taufiq iringi dengan airmata. Ayah pasti marah kalau Taufiq menangis. Ya Allah, kuatkanlah hati ku, kuatkanlah perasaan ku. Aku anak ayah, perlu kuat. Allah tidak akan menguji hambaNya dengan ujian-ujian yang tidak mampu hambaNya tempuhi. UjianNya adalah tanda sayangnya Allah kepada hamba-hambaNya.

Pilu mata Fatimah mengiringi langkah anak lelaki bongsu yang selama ini menjadi buah hati mereka sekeluarga. Jarak umur anak perempuan keduanya, Haryati dengan Taufiq begitu berbeza. Selepas melahirkan Angah, Fatimah disahkan tidak dapat mengandung lagi. Dua kali keguguran selepas melahirkan Haryani, anak sulungnya dengan arwah suami, Fatimah hanya dibenarkan mengandungkan anak keduanya. Kelahiran Haryati juga hampir-hampir meragut nyawanya sendiri. Keinginan Fatimah memiliki anak lelaki akhirnya dikabulkan Allah apabila rumah kecil milik Fatimah dan Abdul Rashid suaminya dikunjungi majikannya. Sekarang haknya sebagai ibu kepada Taufiq telah dirampas kembali. Perjanjiannya 16 tahun yang lampau perlu ditunaikan. Fatimah tiada kuasa untuk menghalang pemergian Taufiq.

“Biar mak tolong Taufiq berkemas, ye sayang.”

Bagaikan halilintar memecah gegendang telinga Taufiq mendengar ucapan patah kata yang keluar dari bibir tua Fatimah. Lain yang diharap, lain yang didengarnya. Memang mak sudah tidak sayang Taufiq lagi. Itu sahaja yang mampu akal Taufiq tafsirkan dengan kata-kata ibunya. Mak pun sudah tidak perlukan Taufiq dalam rumah ini. Apa lagi yang dia ada untuk mempertahankan diri. Sekadar mengangguk mengiakan kata-kata ibunya, Taufiq melangkah ke bilik untuk berkemas. Hatinya yang walang dengan sikap Aimi belum terubat, kini dia berdepan dengan masalah yang lebih besar. Wahai hati, tabahlah engkau…

Ruang bilik Taufiq yang sederhana besar dengan langsir berwarna hijau dipadankan dengan karpet berwarna krim dipandang sayu. Biliknya sekali pandang macam bilik budak perempuan. Teman-teman yang datang semua memerli Taufiq kerana menghias bilik seperti budak perempuan. Tapi Taufiq tidak kisah dengan gelak tawa rakan-rakannya. Susun atur bilik semua diserahkan kepada ibu. Lagi pula dia sangat dimanjakan oleh Along. Semua perkara diceritakan kepada ibunya. Angin bertiup lembut, membuaikan langsir hijau bercorak-corak halus itu. Set hi-fi pemberian arwah ayah diletakkan berhampiran jendela di satu bucu biliknya. Katilnya berada berhampiran pintu masuk dengan cadar hijau kotak-kotak kecil. Dalam bilik kecil itu hanya mempunyai sebuah katil, almari pakaian di kaki katil, dan sebuah meja belajar beserta set hi-fi kesayangannya. Sekilas diimbas kembali keseluruhan bilik yang akan ditinggalkan sebentar lagi. Pelbagai kenangan bergolak dalam fikiran menyusun segala peristiwa yang pernah berlaku sepanjang hidupnya. 16 tahun menjadi anak kepada Fatimah dan Abdul Rashid, banyak mengajarnya apa makna hidup.

Pemandu yang ditugaskan mengambil Taufiq sedang menunggu Taufiq di luar. Katanya Dato` Talha tidak dapat datang kerana ada hal yang tidak dapat dielakkan. Taufiq sebal dengan alasan tersebut. 16 tahun tidak pernah bersua dengan anak lelaki tunggal, masakan cuti sehari pun tidak boleh? Apatah lagi bekerja di syarikat sendiri, sudah tentu dia yang menjadi majikan. Pemandu yang dalam lingkungan 50 tahun itu sekadar terdiam apabila Taufiq mencebik bibir mendengar pesanan Dato` Talha. Dia memahami apa yang bergolak dalam hati anak muda itu. Seusai bersalam dengan ibu dan Along, Taufiq menapak masuk ke dalam kereta. Mercedes Kompressor hitam itu sudah mampu menggambarkan betapa empunya kereta adalah seorang hartawan. Tapi itu bukan bermakna kebahagiaan menanti Taufiq. Angah tidak datang untuk mengiringi pemergian Taufiq. Sebelum ini pun hubungan Taufiq dengan Angah tidak berapa baik. Angah menganggap kehadiran Taufiq merampas kasih sayang mak dan ayah kepadanya. Perlahan-lahan Kompressor hitam itu berundur dari garaj kereta dan berlalu ke jalan utama. Fatimah bagaikan mahu meraung dengan pemergian Taufiq. Selepas berlalunya kereta Taufiq, tangisan yang ditahan selama ini dihambur sekuat hati ke bahu Haryani. Haryani hanya mampu memeluk ibunya, mengusap bahu sambil memujuk hati sendiri.
Bersambung di lain hari ...

Berikan Ku peluang menyayangi mu

“Alina..Alina!! bangun, bangun!!”

“Kau ni kenapa pepagi buta ni kejutkan aku? Hari ni Ahad la, bagilah can aku tidur lama sikit. Bukan ada kuliah pun..”

“Tanak takpe lah. Aku ni baik, ingat nak bagi kat kau surat ni. Setem Jepun ni. Kalau tak nak, nak buat macam manakan...sila-sila sambung tidur tuan puteri. Saya keluar dululah ye.”

“Eh..eh, bak la surat tu dulu sebelum keluar. Hehe.. thanks Dalila.”

Dalila menarik muka melihat senyuman manis Alina. Tahu sangat dengan perangai housemate dia yang seorang ni. Pantang dapat surat dari Jepun. Gembira sakan lah dia. Maklumlah, dapat surat dari buah hati. Masakan tak gembira. Pagi ini nampaknya ada yang rajin buat sarapan lah tu.

Assalamualaikum Alina..

Apa khabar? Baru saja semalam Wan call Ina, tapi hari ni dah duduk kat meja ni, tulis surat untuk Ina. Kalau ikutkan hati, cuti musim panas ni, mahu saja Wan balik bertemu Ina dan keluarga. Tapi bulan 2 hari tu dah balik. Manalah Wan nak cari duit nak balik Malaysia selalu. Ingat nak baito summer ni. Tengoklah camne nanti.

Alina tersengih. Dia pun sudah tahu beberapa patah perkataan bahasa Jepun. Semuanya Ikhwan yang ajarkan. Ermm.. baito maksudnya part-time job. Kat Jepun hampir semua student Malaysia buat part-time job. Ikhwan pun selalu juga buat baito. Selalu berangan-angan nak bawa Alina pergi jalan-jalan kat Jepun walau sekali.

Ina pun tahukan, Wan sekarang dah tahun 4,tahun akhir kat sini. Banyak sangat kerja nak diselesaikan. Eksperimen bertimbun-timbun, mana nak fikir pasal kerja lagi, report lagi, macam-macamlah. Sekarang ni baru start semester baru, tak sibuk sangatlah. Lepas ni mesti sibuk memanjang. Lepas ni kalau Wan jarang-jarang call ke, tulis surat ke, sorry lah ye sayang.

Okla.. nak kena pergi kelas ni. Belajar rajin-rajin ye. Jaga diri Alina baik-baik. Kirim salam kat Dalila, pesan kat dia, kalau dia balik kampong, suruh dia sampaikan salam buat mak dengan abah Wan.

Tulus menyayangimu,

Ikhwan Adib

Dalila sekampung dengan Ikhwan. Kawan sejak sekolah rendah lagi. Tapi Ikhwan bijak, akalnya cerdas, dia dapat melanjutkan pelajaran ke Jepun dalam bidang kejuruteraan tajaan MARA. Alina sendiri tidak menyangka, pertemuannya dengan Ikhwan mencetuskan kisah cinta mereka.

Alina bertemu Ikhwan sewaktu Ikhwan sedang membuat persediaan 2 tahun sebelum membolehkan dia terbang ke Jepun. Ketika itu Alina dan Dalila teman sekuliah, Information Engineering, MMU. Semasa cuti semester, Alina, gadis bandar yang tidak pernah ke kampung bercuti ke rumah Dalila. Dalila dan Ikhwan memang tidak boleh berpisah. Kebetulan Ikhwan juga sedang bercuti ketika itu. Ahh.. cepatnya masa berlalu. Sudah hampir 5 tahun Alina mengenali Ikhwan. Ikhwan yang dikenalinya 5 tahun dulu, masih sama dengan Ikhwan yang sekarang ini. Penyayang, mengambil berat tentang Alina, suka memberi kata-kata semangat supaya Alina rajin belajar, tiada keburukan Ikhwan di mata Alina.

Cuma sekarang masa telah berubah. Takdir telah tertulis. Manusia hanya mampu merancang. Pemergian Ikhwan 2 bulan yang lepas, Alina iringi sampai ke KLIA. Ketika itu Ikhwan pergi meninggalkan janji buat Alina.Janji untuk meminang Alina setelah kepulangannya lagi setahun. Pulang dengan ijazah dan kerjaya. Alina gembira dengan janji itu. Tetapi gembiranya hanya sementara. Belum cukup sebulan pemergian Ikhwan, Alina dikhabarkan dengan berita yang bisa meluruh gugurkan hatinya. Masakan masih wujud perkara sebegitu dalam dunia serba moden ini.

Abah telah menetapkan jodoh untuk Alina. Dirasakan macam drama Melayu pula. Abah beria-ia ingin menjodohkan Alina dengan Fikri. Kononnya Fikri adalah calon yang paling sempurna untuk menjadi suami Alina. Fikri pekerja di syarikat abah. Pekerja kesayangan abah. Mama pun tidak membantah keputusan abah. Padahal bukan mama tidak tahu, hatinya milik Ikhwan. Lagipun Alina tidak mengenali Fikri. Tiba-tiba disuruhnya kahwin. Siapa Fikri tu? Apa yang dia dah buat pada mama dengan abah? Aarrgghhh… Wan, tolong Alina!! Alina tak nak kahwin dengan orang selain Wan..

Sehingga ke hari ini Alina masih merahsiakan tentang hal perkahwinannya dengan Fikri dari Ikhwan. Dengan harapan abah akan berubah keputusan, simpati dengan Alina. Dalam pada itu, Alina telah puas merayu agar dibatalkan perkahwinan itu. Ataupun sekurang-kurangnya dilangsungkan setelah Alina habis belajar. Lagi setahun setengah Alina akan tamat pengajian, sempatlah untuk Ikhwan pulang dan meminangnya. Kepada Dalila juga ditegahnya dari menceritakan hal Fikri kepada Ikhwan.

Pertemuan pertama dengan Fikri menambahkan benci Alina kepada Fikri. Pada pandangan Alina, Fikri sangat kurang ajar.

“Saya nak awak bagi tahu abah, awak nak batalkan perkahwinan kita. Saya tak pernah kenal awak, macam mana kita nak kahwin? Tak lojik langsung!”

“Alina yang tak mahu perkahwinan ini dilangsungkan. Kenapa suruh saya pula? Lagipun, saya sangat gembira dengan perkahwinan ini. Memiliki Alina adalah impian saya selama ini. Salahkah kalau saya kahwin dengan Alina kalau begitu?”

Ketenangan jawapan Fikri menyakitkan hati Alina. Memiliki aku adalah impian dia selama ini?! Mengarut!! Jumpa pun tak pernah, macam mana dia pernah simpan impian nak kahwin dengan aku.

“Saya tak kisah apa yang awak nak cakap sekalipun. Perkahwinan ini takkan berlangsung. Lagipun saya masih belajar. Gila apa pinang orang yang tengah study lagi.” Alina bercakap sambil menahan amarah.

“Saya tak pernah menghalang awak belajar. Kalau awak nak teruskan belajar sampai ke PhD sekalipun, saya takkan menghalang. Saya akan terus sokong Alina dari belakang.”

“ishh.. awak ni tak faham bahasa ke? Umur dah 28 tahun, nak kata tak pandai, lulusan luar negara. Saya tak suka awak. Faham?!! Lagipun saya dah ada boyfriend, Ikhwan.”

Air muka Fikri yang tadinya tenang, sedikit berkocak apabila nama Ikhwan disebut. “Perkahwinan ini permintaan abah Alina. Tapi kesanggupan saya berkahwin dengan Alina adalah kerana saya mencintai Alina. Saya sukakan Alina dari awal lagi. Cinta saya memang khusus untuk Alina seorang saja. Sehingga ke akhir hayat saya akan mencintai Alina. Saya nak Alina tahu tentang itu.”

Alina hampir saja termakan dengan kata-kata Fikri. Tapi cepat-cepat akalnya memintas. Kata-kata lelaki tidak boleh diguna pakai.

Pertemuan pertama mereka di Midvalley Starbucks itu berakhir tanpa satu kata putus. Perkahwinan Alina dan Fikri tetap akan berlangsung. Alina tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Hanya Dalila dan air mata Alina sahaja yang menjadi teman setianya. Segala persiapan perkahwinan mama yang uruskan. Dibantu oleh Dalila. Puas mama memujuk Alina jangan bersedih. “Fikirlah, mungkin ada rahmat tuhan dari perkahwinan ini.”. Mana mungkin Alina mampu berfikir secara waras. Dia bercita-cita bersanding di pelamin putih, pakaian serba putih dengan pengantin lelakinya Ikhwan, bukan Fikri.

Majlis perkahwinan Alina tetap berlangsung dengan meriah, meskipun pengantin perempuannya bermuram durja. Semua tetamu dan saudara mara yang hadir memuji betapa padannya Alina dengan Fikri. Alina sendiri tidak menafikan ketampanan Fikri, tapi hatinya telah diberikan kepada orang lain. Mana mungkin ada ruang untuk dia menyayangi Fikri. Malam pertama mereka tidak seperti pengantin-pengantin lain. Sepanjang malam Alina menangis di penjuru bilik, bimbang jika Fikri melakukan apa-apa terhadapnya. Walaupun Alina sedar, dia milik Fikri yang sah.

Simpati Fikri melimpah ruah terhadap Alina. Fikri mula menyesal dengan tindakan gilanya itu. Bukan dia tidak tahu kasih Alina pada Ikhwan seluas lautan. Tapi kasihnya pada Alina membuatkan dia tetap menurut permintaan Encik Hashim, abah Alina. Dengan harapan, Alina boleh menerimanya. Tapi Fikri lupa , `if you love someone, let her go.if she come back to you, then she`s yours`. Sekarang dia hanya menyiksa Alina semata-mata. Kejamnya kau Fikri. Cinta tak semestinya memiliki, cinta bermaksud menggembirakan orang yang kita cintai, meskipun kita merana. Fikri mendekati Alina dengan niat untuk memujuk Alina.

“Don`t you ever touch me Fikri!” Alina sendiri tidak tahu, dari mana datangnya kekuatan sebegitu. Dia sedar, kalau Fikri memaksa, dia mana mungkin mampu melawan. Tapi dia harus mencuba.

“Maafkan saya Alina. Saya yang bersalah.” Alina tercengang.

“Saya terlalu menyayangi Alina. Saya fikir saya mampu membahagiakan Alina. Saya mahu Alina menjadi perempuan paling bahagia di dunia ini. Tapi saya silap. Saya terlalu mementingkan diri sendiri. Saya kalah dengan cinta Ikhwan di hati Alina. Saya janji, walau apa halangan sekalipun, saya akan tetap membahagiakan Alina. Saya akan lepaskan Alina, sebagaimana Alina sekarang.”

Alina makin kurang faham dengan sikap Fikri. Tapi dia masih berwaspada, bimbang jika Fikri hanya memperdayakannya sahaja.

“Saya akan ceraikan Alina sebelum Ikhwan tamat pengajiannya nanti.”

“Kalau begitu, ceraikan Alina sekarang juga. Saya, saya…”

“Erkk..kita baru saja berkahwin tak sampai 24 jam. Nanti apa kata tetamu di luar kalau saya terus ceraikan awak. Lagipun saya masih belum melalui malam pertama lagi.” Fikri tersenyum meggoda Alina.

“Awak gila ke apa?! Tadi baru cakap nak lepaskan saya sebagaimana saya sekarang, ini dah lain. Don`t you ever think about it!”

“Hahaha..ok ok. Just kidding. Cuba kawal sikit perasaan marah Alina tu. Karang kalau suka marah marah, nanti cepat tua.”

Alina menarik muncung empat belas disindir begitu. Hatinya lega dengan kata-kata Fikri. Akan diterangkan sebaik mungkin kepada Ikhwan tentang Fikri. Tapi sementara itu Ikhwan tidak perlu tahu tentang perkahwinannya ini, sehinggakan kepulangannya nanti. Alina pasti, Ikhwan akan menerimanya. Ikhwan tidak akan meragui hati Alina.

“Ok, memandangkan kita akan tetap berkongsi rumah sepanjang setengah tahun ini, friends?” Fikri menghulurkan tangan kepada Alina. Alina dengan ragu-ragu ingin menyambut huluran Fikri.

“Saya suami awak yang sah. Tak berdosa kalau pegang tangan sekali pun.”

Panas telingan Alina mendengar perkataan suami yang sah. Rasa mahu saja dia tarik tarik lidah Fikri. Fikri ketawa dengan telatah Alina.

*********

Hampir 3 bulan usia perkahwinan Alina dan Fikri. Dalam masa itu, Fikri tetap berpegang pada janjinya. Tidak sekali pun pernah Fikri menyentuh Alina. Alina 3 bulan yang lepas, sama dengan Alina yang ada sekarang. Tidak ada yang berkurangan. Kegiatan harian Alina juga tidak berubah. Pagi, Fikri bergegas ke pejabat, Alina ke kuliah. Petang baru bertemu. Cuma Alina perlu memasak sekali sekala untuk Fikri. Itu tidak menjadi masalah, Alina memang gemar memasak. Fikri memang sahabat yang baik. Usianya yang berbeza, menunjukkan kematangannya. Alina suka menceritakan masalahnya kepada Fikri. Sehinggakan kadang-kadang Alina takut dengan dirinya sendiri. Bimbang jika dia terlanjur menyintai Fikri. Fikri lelaki sempurna. Tiada kurangnya dengan Ikhwan. Sementelahan pula Ikhwan jauh di perantauan. Hanya surat dan telefon sahaja pengganti diri. Sebelum ini Alina tidak pernah terfikir hatinya akan goyah. Sebelum ini Alina tidak punya Fikri. Sekarang Fikri wujud di depan mata. Fikri yang menjaganya siang dan malam. Cinta datang dan pergi dalam hidup manusia dengan mudah.

Pernah Alina tanyakan pada Fikri. Kenapa perlu berbuat baik kepadanya, sedangkan Fikri tetap akan menceraikan Alina.

“Janji saya dengan Alina, tak perlu Alina risau. Saya tetap akan kotakan. Janji saya denganNya, selagi saya masih bergelar suami Alina, saya akan menjaga Alina sebaik mungkin, membahagiakan Alina selagi ada hayat saya. Saya minta dengan Alina, berilah saya peluang menjaga Alina selagi Alina masih isteri saya. Menjaga Alina adalah kebahagiaan buat saya. Biarlah walau hanya untuk sekejap saja.”

Alina terharu dengan kasih yang Fikri curahkan. Kenapa perlu wujud orang sebaik Fikri yang menyayanginya sepenuh hati, meski tahu hati Alina khusus untuk Ikhwan. Alina semakin dapat merasai kasih Fikri yang mekar dihatinya. Namun, Alina tidak ingin mencurangi kasih Ikhwan yang setia.

“Awak, jangan sia-siakan kasih awak. Simpan dan berikan pada gadis lain. Saya tak berhak memiliki kasih awak. Saya tak mampu menjadi isteri yang baik,, dan saya bukan orang yang berhak.”

“Hanya Alina yang berhak memiliki kasih ini, dan kalau saya ceraikan Alina sekalipun, saya nak Alina ingat saya sampai bila-bila. Walau sekadar ingatan seorang kawan kepada kawannya. Saya sayangkan Alina dari dulu, sekarang dan akan selama-lamanya menyayangi Alina.”

Hampir saja air matanya gugur dengan pengakuan ikhlas Fikri. Alina tidak mampu bertentang mata, terus memalingkan mukanya ke arah lain.

“Tentang Alina tidak menjadi isteri yang baik tu, bila-bila masa saja Alina boleh menjadi isteri yang baik. Saya seorang suami yang baik, kecil tapak tangan, master bedroom kat atas tu saya tadahkan.” Fikri tergelak besar melihat muka masam Alina dengan gurauannya.

“Ini yang saya malas nak buka topik kita ni. Laju je nak sebut hal-hal yang tak sepatutnya. Awak jangan nak mengada-ngada nak berangan lebih-lebih.” Alina sebenarnya malu dengan gurauan Fikri sebentar tadi. Dicubanya melindungi perasaannya dari Fikri dengan pura-pura marah.

“Ya.. saya ingat janji saya Cik Alina. Saya bukan manusia yang suka mungkir janji. Lagipun saya tak suka memaksa, tambah-tambah lagi Alina. Sebab saya sayang awak.” Fikri mencuit hidung Alina sebelum beredar ke bilik. Mungkin ingin menunaikan solat Asar. Alina terpana, tersentuh hatinya dengan kelakuan Fikri. Alangkah baiknya kalau Fikri itu Ikhwan. Tentu dia sekarang sangat gembira. Wan, agaknya apa yang Wan tengah buat sekarang ni ye…

“Air, air, aduh.. tersedak lah pula.” Ikhwan terbatuk-batuk.

“Haha.. ada orang teringat kat kau kot. Itu yang tersedak tu. Mak kau ke..nenek kau ke..”

“Ish.. tak cun la. Ada ke nenek aku lak. Awek aku lah.”

“Awek juga yang kau ingat. Sudahlah Wan. Entah-entah awek kesayangan kau tu dah kahwin kat Malaysia tu. Kau mana tahu.”

“Amboi tak sayang mulut nampak?! Ada yang makan sepak terajang ni. Orang tengah sedap-sedap makan kat shokudo ni, kau seorang je makan kasut aku ni.”

Teman-teman Ikhwan ketawa dengan pergaduhan kecil Asyraf dan Ikhwan. Semua orang tahu, Ikhwan sangat sayangkan Alina. Di rumah Ikhwan, penuh dengan gambar Alina. Alina juga setia. Memang jodoh Ikhwan dengan Alina. Ikhwan pun turut ketawa akan kebodohannya melayan kerenah Asyraf, junior yang memang kerjanya suka menyakat orang. Ketawa Ikhwan terkandung kepura-puraan. Hatinya dirasakan menyirap dengan lawak Asyraf. Dirasakan lawak itu seolah-olah terkena batang hidungnya. Nalurinya mengatakan Alina bukan miliknya lagi. Tetapi sehingga sekarang tiada berita yang mengatakan Alina sudah berkahwin. Cuma nalurinya saja berkata demikian. Ingin ditanya Alina, dia bimbang jika dikatakan meragui kasih Alina. Sudahnya Ikhwan lupakan saja permasalahan itu. Kembali menenggelamkan dirinya dalam timbunan report report dan kerja-kerja sekolah.

Sudah hampir sehari Alina terlantar di katil. Kepalanya dirasakan berpusing-pusing. Suhu badannya semakin meningkat. Pagi tadi semasa menyiapkan sarapan untuk Fikri, sudah dirasakan tidak selesa. Tapi dibiarkan saja. Alina fikir demam biasa-biasa tu, takkan nak ponteng kelas kot.Jam 8 pagi, Fikri ke pejabat. Alina juga bersiap-siap untuk ke kelas. Kelas hari ini bermula jam 11. masih ada sedikit masa untuk dia bersiap. Habis mengemas pinggan mangkuk di dapur, Alina menuju ke tangga untuk ke biliknya di atas. Belum sempat tiga anak tangga dipanjat, dirasakan kepalanya berat, badannya ringan melayang. Alina rasa mahu pitam. Hampir dia terjatuh, terasa ada tangan sasa menyambut lembut tubuhnya dari rebah. Dalam separa sedar, dilihatnya Fikri yang sedia menyambut Alina. Bila terjaga, Alina berada di atas katil, siap dengan kepalanya dituam.

“Kenapa tak bagi tahu Alina sakit? Kalau tak boleh saya minta cuti. Nasib baik saya tertinggal briefcase. Kalau tak, saya takkan maafkan saya sendiri kerana mengabaikan Alina.” Bebel Fikri.

Alina tersenyum. Baru sakit sikit dah risau lebih-lebih orang tua ni. Pula tu, ada ke patut, dibebelnya aku yang sedang sakit ni. Alina cuba bangun, lemah seluruh sendinya. Kudratnya tiada.

“Bukannya sakit teruk pun. Tak perlu awak risaukan. Pergilah kerja. Petang nanti ok lah ni kot.” Alina bersuara antara dengar dan tidak. Tenaganya seolah-olah diperah habis-habisan. Menggigil-gigil tangannya.

Tanpa menghiraukan kata-kata Alina, dengan ringan Fikri mencempung badan Alina menuruni tangga.

“Eh, awak nak buat apa ni?! Lepaskan saya Fikri.” Alina cuba meronta-ronta, memukul-mukul bidang dada Fikri. Tapi dengan tenaganya yang sedikit, tiada apa yang boleh dilakukan.

“Kali ini saya takkan ikut cakap Alina lagi. Mana boleh saya biarkan saja awak sakit di rumah. Saya nak bawa awak ke hospital.”

Seminggu Alina diserang demam panas. Suhu badannya naik sehingga 40 degree. Sepanjang itu jugalah Fikri menemaninya, menjaga Alina, makan, pakaian segala-galanya. Mulanya Alina membantah, mahu disuruhnya mama saja yang menjaga, tapi mama hanya menyerahkan semuanya pada Fikri. Seminggu jugalah Fikri cuti kerja. Fikri yang memasak, sepanjang malam Fikri jugalah yang tidur di atas kerusi sebelah Alina. Menemani Alina sepanjang malam. Alina makin terharu. Kasihnya buat Fikri makin mendalam. Tidurnya diiringi mimpi-mimpi Ikhwan, tapi dalam mimpinya Alina sekadar berlalu meninggalkan Ikhwan, berpimpin tangan dengan Fikri. Alina sendiri gagal membaca hatinya. Sekarang, siapa yang lebih diperlukan, Ikhwan atau Fikri.

Tidur Fikri tersentak. Terdengar igauan Alina memanggil-manggil nama Ikhwan. Pilu hati Fikri, Tuhan saja yang tahu. Fikri hampir menangis sendirian. Gadis yang dipuja masih memuja yang lain. Sayang, Fikri akan mengotakan janji yang kita buat dulu. Fikri akan lepaskan sayang. Ada lebih sebulan setengah lagi tinggal. Ikhwan akan pulang pertengahan bulan April nanti. Sekarang sudah penghujung Februari. Fikri menatap wajah Alina dengan hati sayu. Inilah pertama kali Fikri berpeluang menatap wajah Alina dari dekat. Biasanya kalau dia mencuri-curi merenung Alina, gadis itu akan mula marah-marah. Fikri tersenyum sendirian. Alina, wajah yang manis, tapi lekas marah. Ermm.. mungkin dengannya saja Alina marah-marah. Mungkin dengan Ikhwan Alina bersikap manja. Mengingatkan Ikhwan, hati Fikri dipalu kesayuan. Disentuh lembut pipi Alina, menguak anak rambut yang berjuntaian di dahi Alina.

“Sayang, ketahuilah betapa abang menyayangi sayang. Tak dapat abang nak gambarkan kasih abang buat Alina. Abang selalu mohon kepada yang Esa agar Alina menjadi milik abang. Dan selamanya abang memang milik Alina. Hati ni bukan untuk sesiapa selain Alina Hanis Hashim.” Air mata Fikri gugur, menimpa pipi Alina. Dikucupnya dahi Alina dengan penuh kasih sayang. Hatinya hiba memikirkan apa yang akan berlaku lagi sebulan. Dia tidak sanggup untuk berpisah dengan Alina. Selama ini hari-harinya ceria dengan kehadiran Alina.

Alina bagaikan mahu meraung dengan kata-kata Fikri. Fikri tidak sedar Alina sudah terjaga saat itu. Alina rasakan bagai mahu memeluk Fikri, mengucapkan terima kasih, terima kasih kerana menyayangi dirinya dengan sebegitu rupa. Mahu menucapkan yang dia juga sudah mula meletakkan Fikri sebaris dengan Ikhwan dalam hatinya. Cuma setianya pada Ikhwan melebihi segalanya. Tapi dirasakan juga bagaikan mahu menampar pipi Fikri, memarahi Fikri agar jangan terlalu menyayangi diri ini. Jangan buatkan Alina rasa bersalah kerana mempersiakan kasih suci Fikri. Alina tak layak menerima kasih Fikri!

Alamak, dah pukul 9! Macam mana aku boleh tak jaga ni..Arghh.. dah lambat nak ke kelas. Alina tergesa-gesa bersiap. Mandi ala kadar saja, capai apa yang patut, pantas berlari mencapai kunci kereta. Baru sahaja ingin melangkah melintasi ruang tamu menuju ke pintu keluar, Alina terpandang sejambak mawar putih, kemas terletak di atas meja di ruang tamu. 18 kuntum mawar putih, dihias indah. Tersisip sekeping kad. Alina menarik sekeping kad kecil, gambar dua hati diikat benang. Tertulis perkataan `love you dear`.

Alina sayang,

Selamat Hari Lahir. Semoga segala yang Alina impikan, menjadi milik Alina. Kebahagiaan Alina, adalah kebahagiaan saya.

Khairil Fikri Hamidi

Hari lahir? Bermakna hari ni 29 Mac. Cepatnya masa berlalu. Lagi seminggu Ikhwan dijangka pulang. Bermakna, kurang dari seminggu jugalah hari-hari Alina bersama Fikri akan berakhir. Hati Alina gundah. Apa akan terjadi dalam hidupnya tanpa Fikri nanti. Hampir setahun hidup bersama Fikri, sudah menjadi suatu kebiasaan. Macam mana ingin melalui hari kemudian tanpa Fikri.. Sepatutnya Alina perlu bergembira dengan kepulangan Ikhwan. Kebebasannya dari belenggu kasih Fikri. Tapi sebaliknya dia merasakan hari-harinya tanpa Fikri nanti akan ditemani sepi. Tiada lagi gurau tawa Fikri, usikannya, layanannya. Aarghh..Alina buntu. Dipujuk hatinya dengan bayangan wajah Ikhwan. Wan, walau apa terjadi, Wan tetap dihati Alina.

Seharian di kampus dengan kesibukan yang pelbagai membuatkan Alina lupa sekejap dengan permasalahannya. Jam menunjukkan pukul 5 petang. Kuliah Professor Malik tamat. Perut Alina berkeroncong mendendangkan lagu yang tidak menentu iramanya. Alina belum lagi berpeluang makan tengah hari. Pagi tadi dengan tergesa-gesa Alina ke kuliah, tanpa sempat menjamah walau sedikit makanan. Rehat tengah harinya pula diiisi dengan lawatan ke bilik Mrs. Themala, menghantar report yang sepatutnya dihantar sebelum jam 830 pagi. Tapi disebabkan kelewatannya, terpaksa menghadap Mrs. Themala, susun berjuta-juta kemaafan dengan seribu alasan. Nasib Alina tidak begitu baik, Mrs. Themala pula dalam mood yang tak baik, terpaksalah dia mendengar ceramah free lebih kurang setengah jam. Tak sempat makan apa-apa lagi, terpaksa masuk kuliah pula. Sehingga jam 5, tidak satu pun makanan yang menjamah perutnya. Pantas kaki dihayun menuju ke surau. Niatnya ingin menunaikan solat Asar dulu sebelum makan.

Seusai solatnya, dengan buku-buku penuh di tangan, Alina menapak menyusuri kaki lima bangunan perpustakaan menuju kantin. Baru saja ingin melintas, sebuah kereta Honda Civic biru gelap menghalang pergerakannya. Hampir saja Alina menjadi korban. Mendidih darah Alina dengan lagak pemandu Honda Civic tersebut. Baru ingin menjerit memarahi pemiliknya, baru Alina perasan siapa pemandunya.

“Hai cik adik manis. Nak ke mana? Boleh saya tumpangkan?”

“Fikri!! Jangan buat saya terkejut macam tu lah! Kalau saya kena langgar dengan awak macam mana?”

Fikri membuka pintu, keluar dari kereta. Sekadar ber T-shirt lengan pendek tanpa kolar dan jeans biru cair, Fikri tetap tampak hebat. Punyai karisma tersendiri. Alina sedikit kagum dengan ketampanan Fikri. Patutlah teman-temannya asyik mengatakan Alina bertuah dapat Fikri yang hensem. Alina tersenyum sendirian.

“Hai birthday girl, senyum seorang-seorang ni kenapa? For my dear beloved wife..” Fikri menghulurkan sejambak mawar merah kepada Alina. 18 kuntum mawar merah.

“Bunga yang kat rumah tu ada lagi. Jangan membazirlah Fikri.”

“Ooo.. yang kat rumah tu, warna favourite Alina, rose putih. Sekarang ni bunga favourite saya pula, rose merah. Saya tak tahu nak pilih yang mana satu, kegemaran saya atau kegemaran Alina. So, saya ambil dua-dua sekali. Alina tak suka?”

“Ermm.. suka. Thanks Fikri.” Alina kembali teringatkan apa yang bersarang di mindanya sejak pagi tadi.

“Shall we? Saya ada surprise untuk birthday Alina.” Fikri membuka pintu menjemput Alina masuk. Alina sekadar tersenyum dilayan begitu. Fikri tidak pernah serik mengambil hati Alina walaupun Alina tidak pernah sekali pun menunjukkan kasihnya kepada Fikri. Menderum laju Honda Civic kepunyaan Fikri membelah kampus MMU.

Kelihatan Alina sedang ketawa gembira di samping Fikri. Betapa pasangan tersebut begitu ideal di mata sang pemerhati. Jauh di bawah pohon ketapang menghadap perpustakaan, sebuah motorsikal 250 cc terpasak kaku, beserta sepasang mata yang penuh kekecewaan, penuh kemarahan memerhati betapa kasih yang dijaga sebegitu lama hancur di hadapan mata. Kekasih yang disangka setia rupanya curang, irama yang dialun merdu, rupanya pincang dengan gendang tarian sang kekasih hati.

Fikri membawa Alina menikmati suasana di puncak Menara KL, sambil menghadapi hidangan makan malam. Sepanjang masa makan, Alina mahupun Fikri tidak langsung menyentuh tentang hal perceraian mereka lagi beberapa hari. Seolah-olah mereka pasangan yang bahagia. Alina ingin mengutarakan permasalahan itu, tapi tidak ingin merosakkan mood yang telah terbina. Sometimes, you just have to go with the flow. Hidangan dan pemandangan yang indah mengukir satu memori di hati Alina. Selepas selesai menjamu selera, Fikri memegang tangan Alina. Alina sekadar mebiarkan. Hatinya bagaikan merelakan.

“Alina, sepanjang setahun kehadiran Alina, hidup saya penuh kegembiraan. Selepas ini saya takkan mempunyai sebarang kekesalan lagi. Menjadi suami Alina untuk setahun, saya rasakan terlampau singkat. Tapi kesudian Alina, tak dapat saya balaskan. Setahun sudah lebih dari mencukupi.” Fikri menghulurkan sebuah kotak kecil berbaldu biru. Alina dengan terketar-ketar menahan air mata, membuka kotak baldu biru itu. Panahan cahaya lampu ruang makan menyilau mata. Sebentuk cincin bertatah berlian dengan bentuk hati terukir rapi, terletak indah dalam kotak. Alina tidak mampu bersuara, sekadar merenung wajah Fikri dengan seribu satu pertanyaan.

“Selepas saya berpisah dengan Alina nanti, cincin kahwin di jari manis itu pasti akan Alina pulangkan kepada saya kembali. Jadi saya nak Alina terima cincin ini, sebagai hadiah dari seorang kawan. Dengan itu Alina tidak boleh memulangkan ia kembali kepada saya. Simpanlah cincin ini, sebagai tanda Alina pernah memiliki seorang kawan yang menyayangi Alina sepenuh hatinya. Bolehkan? ”

Alina sekadar mengangguk. Meyisipkan kotak baldu tersebut ke dalam tas tangannya.

“Dan ini janji saya dengan Alina setahun yang lepas. Tak lama lagi Ikhwan akan pulang, walaupun dengan hati yang berat, saya tetap akan mengotakan janji saya.” Fikri menghulurkan sepucuk surat kepada Alina. Baru saja Alina merasakan kebahagiaan dengan hadiah tadi, dia kembali disapa kejutan maha hebat. Alina bagaikan mahu menjerit, ingin mengulang kembali masa setahun yang lepas. Saat di mana dia mula diijab kabulkan dengan Fikri. Dia tidak sanggup membaca isi kandungan surat itu. Terketar-ketar jari runcing Alina membuka surat yang diberi.

Saya, Khairil Fikri bin Hamidi dengan ini menceraikan isteri saya, Alina Hanis binti Hashim dengan talak satu atas alasan tiada kesefahaman di antara kami.

Tandatangan,

Khairil Fikri Hamidi

Fikri, terima kasih kerana berpegang pada janji. Dan terima kasih juga kerana telah membuatkan Alina terlanjur mnyintaimu. Hati Alina gundah. Andaikata langkahnya pincang kali ini, membuat keputusan yang salah, dengan meninggalkan Fikri yang mungkin jodoh terbaik buat dirinya, dan memilih Ikhwan, kekasih hati selama 5 tahun, apakah masih ada ruang untuk dia kembali ke pangkal jalan? Ya Allah, hanya padaMU aku memohon. Tunjukilah aku jalan yang benar, jalan ke arah keredhaanMU dan kebahagiaanku.

Sepanjang perjalanan pulang, Alina dan Fikri sekadar mebatu. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Tenang Fikri memandu menyusuri jalan, kenderaan bersimpang-siur menuju destinasi masing-masing. Jam hampir ke pukul 10 malam. Honda Civic Fikri tiba di perkarangan rumah batu dua tingkat milik mereka. Pemberian abah Alina sewaktu mereka berkahwin setahun yang lepas. Alina membuka pintu, melangkah keluar. Fikri membuka pintu kereta, sekadar menjengukkan kepala sahaja.

“Fikri tak nak keluar?”

“Rumah ni milik Alina. Mulai hari ini, kita bukan pasangan suami isteri lagi. Malam ni terpaksalah saya kembali ke rumah bujang saya kat Kelana Jaya tu. Melainkan Alina nak ajak saya bermalam di sini bolehlah saya fikirkan sekali lagi macam mana.”

Alina tersenyum pahit dengan usikan Fikri. Fikri juga sekadar tersenyum tawar. Setelah mengucapkan selamat malam sesama mereka, Fikri memohon diri untuk beredar. Belum sempat pintu kereta ditutup, kedengaran deruman enjin motosikal memasuki perkarangan rumah. Silau dengan lampu motosikal, Alina dan Fikri mengecilkan mata meninjau siapakah gerangan tetamu di malam hari begini. Alina hampir rebah melihat bayangan pemilik motosikal tersebut. IKHWAN!!

Ketiga-tiganya mendiamkan diri. Semuanya membatu. Kebekuan suasana malam dengan ketegangan keadaan di ruang tamu rumah, mengundang ketidakselesaan mereka. Orange juice yang dihidangkan Alina tidak bersentuh. Fikri merasakan dia sebagai orang yang bersalah, wajib memulakannya.

“Walaupun saya tidak pernah bertemu Ikhwan, tapi saya banyak mendengar cerita tentang Ikhwan dari Alina. Saya tahu hubungan Ikhwan dengan Alina.” Alina sekadar tertunduk. Bimbang jika Ikhwan kembali melenting. Di luar tadi, hampir saja Ikhwan bertumbuk dengan Fikri. Kematangan Fikri berjaya meredakan suasana, dan memujuk Ikhwan bercakap di dalam rumah. Bimbang dikatakan mengganggu jiran tetangga.

“Ooo.. ye ke. Agak-agaknya, apalah yang isteri tersayang saudara….”

“Panggil saya Fikri.” Tenang Fikri berkata.

“Haa.. saudara Fikri. Apa yang isteri tersayang Fikri cerita pasal saya ya? Agak-agaknya masa bila tu Alina bercerita tentang saya kepada awak? Masa kat bilik kot. Betul ke Alina?” Pedas sindiran Ikhwan. Alina bagaikan mahu menangis dengan kata-kata Ikhwan. Ini bukan Ikhwan yang dia kenali sebelum ini. Ikhwan yang Alina kenali, orangnya berdiplomasi, bukannya tuduh melulu tanpa alasan.

“Watch your mouth Ikhwan. Jangan main nak tuduh Alina tanpa usul periksa. Alina yang dulu, sama dengan Alina yang sekarang. Besides, saya dah lepaskan Alina kerana Alina lebih menyayangi awak dari saya.” Fikri menahan sabar. Dia pantang mendengar Alina, gadis kesayangannya dicerca.

“Wow.. what a story. Maksud awak, awak nak bagi sisa awak ni pada saya? Selepas dah abis cerita nikah kahwin awak selama setahun, tiba-tiba cakap, saya dah lepaskan Alina bla..bla..bla..” Ikhwan meneguk minuman, meredakan kemarahannnya.

Fikri tunduk. Alina mula menangis. Pilu hati dituduh sebegitu. Tidak disangkanya Ikhwan akan meragui kesucian dirinya. Bukankah cinta tidak memandang semua itu? Kenapa kesucian diri yang jadi persoalan. Andai Ikhwan mengasihinya setulus hati, Ikhwan akan menerima keadaannya sebagaimana dirinya. Alina memandang wajah Ikhwan minta pengertian. Ikhwan sekadar melihat, merenung seolah-olah Alina sangat keji. Fikri mula hilang kesabaran. Dicekaknya kolar baju Ikhwan.

“Don`t you dare say that to Alina. Saya tak pernah menyentuh Alina, kerana saya hormatkan dirinya. Awak patut bersyukur memiliki cinta Alina. Awak patut tahu betapa Alina merindui awak sepanjang ketiadaan awak. Betapa tidur malamnya menyebut nama Ikhwan, Ikhwan, Ikhwan...”

“Tidur malam? I beg your pardon? Maknanya, memang betullah. Oo .. macam tu ceritanya. Dara lagilah Puan Alina ni rupanya.” Ikhwan sekadar tersenyum sinis memandang muka Fikri yang mula membara. Ringan tangan Fikri dihayunkan ke arah Ikhwan. Berdengung telinga Ikhwan. Pantang anak lelaki berdiam kalau dipukul. Ikhwan mengesat darah yang mengalir meleleh membasahi bibir. Berdiri tegak dengan semangat membara menghala ke arah Fikri yang memang bersiap dengan segala kemungkinan.

“Stop it!! Ikhwan!! Fikri!! ” Alina juga tidak boleh lagi berdiam diri dituduh dengan pelbagai cerita. Air mata laju mengalir. Hati Fikri ditusuk sayu, melihat Alina berlinangan air mata. Disangkanya hdup Alina akan bahagia dengan kepulangan Ikhwan. Sepanjang setahun ini, sebut saja nama Ikhwan, pasti mata bundar itu memancarkan cahaya kegembiraan. Membayangkan betapa dia mengimpikan hidup bersama Ikhwan. Tapi sekarang sepasang mata bundar itu hanya mampu berlinang air mata. Kekasih hati sendiri meragui cintanya. Bukan itu saja, Ikhwan mati-matian mempertikaikan kesucian Alina. Kesucian bukan nilai sebuah cinta, kepercayaan itu lebih penting.

“Wan, Ina minta ampun andai berita perkahwinan kami mengejutkan Wan. Ina memang berniat nak menceritakan pada Wan. Tapi Ina fikir Wan akan pulang minggu depan.”

“Thank God aku pulang awal. Ingat nak surprise kan party harijadi kau, rupanya kau yang surprise kan aku dengan laki kau ni. Cantik harga sebuah kesetiaan yang kau balas cik Alina.” Alina pilu mendengar bicara Ikhwan yang kasar. Tiada lagi Wan, tiada lagi sayang. Kau dan aku. Betapa asingnya mereka sekarang.

“Abah paksa Ina kahwin. Ina tak mampu menolak. Durhaka namanya kalau membantah kata abah. Tapi Wan, percayalah. Ina yang dulu, sama dengan Ina yang sekarang. Kasih Ina pada Wan tak pernah berubah. Ina setia, Ina jaga diri Ina sebaiknya untuk Wan. Kalau itu yang Wan pinta dari Ina. Kalau itu harga cinta Ina pada Wan.” Alina menangis teresak-esak.

“Ok then, show me. Tunjukkan kau masih suci. Buktikan kata-kata kau bukan sekadar bohongan.” Bangga Ikhwan dengan kata-katanya. Alina merenung tajam tidak percaya dengan apa yang baru di dengarnya. Kesabaran hati mula mencapai limit yang sepatutnya.

“Tunggu apa lagi, shall we? Bilik kat ataskan? Ermm.. Encik Fikri, boleh tunggu di bawah sekejap. Saya nak pinjam isteri kesayangan awak sekejap. Bolehkan?”

Fikri rasakan mahu bunuh saja empunya mulut yang begitu lancang itu. Hampir sahaja diterkam batang tubuh Ikhwan. Dihalang oleh Alina. Sekuat hati tangan kecil milik Alina melayangkan tamparan ke pipi Ikhwan. Mata Alina mengandungi seribu kebencian, menatap tajam ke dalam mata Ikhwan, terus ke hati. Dengan satu pandangan sahaja, Alina telah merobek semua kasih yang disimpannya khusus untuk Ikhwan. Ikhwan terpana. Pedih yang dirasakan di pipi tidak sepedih hatinya dengan tamparan Alina. Tidak disangka, Alina yang manja, mudah merajuk, mampu menamparnya. Dulu Alina diam setiap kali dimarah. Alina bukan seorang yang mudah berang. Mungkin dirinya kelihatan seperti seorang yang pemarah, tapi itu sekadar luarannya sahaja. Alina adalah Alina. Lembut dan tersendiri.

“Wan, sabar Ina ada hadnya Wan. Wan dah melampau. Baliklah Wan. Anggaplah Ina dah mati dalam hidup Wan. Anggaplah Ina yang Wan kenal dulu dah berubah, dah menjual cintanya dah tubuh badannya kepada orang lain. Anggaplah apa saja yang yang Wan suka. Ina dah tak kisah lagi Wan. Bagi Ina, saat Wan minta bukti kesucian Ina tadi, Ikhwan Adib yang Alina Hanis Hashim kenal 6 tahun dulu, dah mati. Cinta Ina padanya juga dah hancur. Baliklah Wan. Ina akan belajar melupakan Wan. Ina takkan ganggu hidup Wan lagi.” Air matanya sudah kering. Tidak mampu ditangisi lagi. Kasih yang dijaga, dibajai selama ini, sudah tiada untuk dikenang.

Ikhwan terdiam. Terduduk. Meraup muka. Mula menyedari, berfikir kembali. Mungkin betul kata Alina. Mungkin Fikri tidak menipunya. Betapa dia telah menyakiti hati gadis kesayangannya.

“Maafkan Wan, Ina.. Wan..”

“Baliklah Wan. Ina tak nak tengok muka Wan lagi. Tolonglah balik.”

Ikhwan tidak mampu berkata apa-apa lagi. Ketegasan Alina sudah cukup memberi segala jawapan kepada kesalahannya sebentar tadi. Dipandangnya Fikri. Sebelum berlalu, ditepuknya bahu Fikri.

“Kawan, maafkan aku kerana tak percaya kata-kata kau. Tolonglah jaga Alina sebaiknya. Janjilah pada aku.”

“Maaf, permintaan kau tak dapat aku nak tunaikan. Alina baru saja aku ceraikan tadi. Alina adalah Alina. Dia memang sendiri. bukan milik sesiapa.” Ikhwan mengeluh, menyesali kebodohan sendiri. Betapa jujurnya kasih Alina, telah dia persiakan. Ikhwan berlalu diiringi Fikri ke muka pintu dengan seribu kekesalan di hati. Nasi sudah menjadi bubur. Menyesal macam mana sekali pun tidak akan merubah kenyataan.

Alina terkedu dengan pernyataan Fikri. Dia hampir lupa, Fikri telah menceraikannya. Alina tidak punya sesiapa. Dia keseorangan. Dia sama seperti Ikhwan. Melangkah dengan langkah yang pincang, akhirnya terjatuh sendirian. Alina menangis dengan kebodohannya sendiri. salahkah dia andai dia kembali kepada Fikri. Sanggupkah Fikri menerimanya kembali.. dia telah mempersiakan kasih Fikri selama setahun ini. Sudahnya Alina tertidur sendirian di ruang tamu. Tidurnya diiringi air mata penyesalan. Takut menghadapi hari esok sendirian.

********

Matahari menjengukkan cahayanya menerobosi celahan-celahan tingkap rumah batu dua tingkat itu. Perlahan-perlahan Alina membuka matanya, silau dengan cahaya pagi. Seingatnya dia tidur di ruang tamu. Tapi kenapa dia berada di atas katil pagi ni? Di satu sudut kamar tidurnya, kelihatan Fikri mengerekot kesejukan di atas sofa, tanpa selimut. Alina rasa bahagia. Saat-saat itu Fikri masih disisinya. Dicapainya selimut, perlahan-lahan menuju ke arah Fikri, bimbang akan mengejutkan lena Fikri. Badan Fikri diselimutkan, dan baru pertama kali Alina merasakan kasihnya hanya satu untuk Fikri. Tapi semuanya dah terlambat. Fikri bukan lagi suaminya. Alina menangis lagi untuk kesekian kalinya. Esakan kecil Alina mengejutkan Fikri.

“Kenapa Alina? Alina sakit ke? Demam?” Fikri pantas menyentuh dahi Alina dengan penuh kasih sayang. Bimbang akan kesihatan Alina. Alina makin kuat teresak-esak menangis. Fikri kelam kabut. Tidak tahu apa yang perlu dibuat. Disentuhnya dahi Alina, tidak panas. Suhu badannya normal sahaja. Putus akalnya kenapa Alina menangis.

“Kenapa ni Alina. Cuba bagi tahu kat mana Alina sakit. Kalau Alina menangis macam ni, mana mana saya nak tahu mana Alina sakit.”

Alina menarik tangan Fikri yang sedang membelai rambutnya. Diciumnya tangan Fikri dengan linangan air mata.

“Saya tahu saya bersalah. Saya tahu saya tak patut buat awak macam ni. Tak patut buat permintaan ini.”

Fikri makin pening dengan perangai Alina. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Erkk.. permintaan apa ni Alina?”

“Berikan saya peluang kedua. Berikan saya peluang untuk menyayangi awak. Saya…….”

Fikri bagaikan mahu bersorak dengan pengakuan Alina. Ya Allah, kau telah makbulkan doa hambaMU ini. Alina tidak mampu meneruskan kata-katanya. Alina makin kuat menangis. Esakannya semakin menjadi-jadi. Kebekuan Fikri seolah-olah menyatakan `kau tak layak menerima kasih ini. Telah setahun aku curahkan, kau sia-siakan. Sekarang bila dah keseorangan, baru ingat nak cari aku. Jangan ingat kasih aku sebegitu murah`. Air matanya laju menunggu kemungkinan-kemungkinan apa yang bakal disembur Fikri. Tiba-tiba Fikri mengangkat dagunya, mencium dahi Alina dengan perlahan. Alina sayu. Inikah ciuman terakhir Fikri?

“Alina tidak perlu membuat permintaan sebegitu. Dari dulu lagi saya katakan, saya milik Alina selamanya. Sayalah yang sepatutnya cakap, sayang, berikan abang peluang untuk menyayangimu..”

Alina malu ditenung sebegitu, tunduk tersenyum. Bagai terbayang-bayang kebahagiaannya bersama Fikri.